Menu Close

Bahasa Malaysia | English

16 Aktiviti dan Tempat Menarik di Sekinchan dan Sekitarnya

* Artikel asal telah diterbitkan di Ummi Goes Where? pada tahun 2021.

Sepanjang larangan merentas negeri dilaksanakan oleh kerajaan pada zaman pandemik, saya dan beberapa orang rakan yang lain telah cuba memanfaatkannya sebaik mungkin, iaitu dengan menjelajahi negeri sendiri.

Antaranya, kami telah bercuti di Tadom Hill Resorts, sebuah penginapan ‘glamping‘ unik yang bertemakan buluh. Kami juga telah mendaki Bukit Mahkota Cheras untuk menyaksikan sendiri ‘kolam larangan’ yang berwarna biru di sana.

Kali ini, kami sekali lagi kami mengambil peluang untuk bercuti bersama sebelum tibanya bulan Ramadan. Dan destinasi kami pada kali ini ialah Sekinchan.

Sekinchan

Sekinchan ialah sebuah perkampungan nelayan yang terletak di Sabak Bernam, Selangor — kira-kira 100 kilometer di sebelah utara Kuala Lumpur.

Selain daripada hasil perikanan, Sekinchan turut terkenal dengan sawah-sawah padi yang luas terbentang. Malah, ia merupakan salah sebuah pengeluar beras terbesar di Malaysia. Jumlah keluasan sawah padi di sini adalah kira-kira 180 kilometer persegi.

Sawah padi di Sekinchan. Foto: Hasvina / Wikimedia Commons

Beberapa tahun lepas, Sekinchan pernah dijadikan lokasi penggambaran bagi sebuah drama romantik Hong Kong yang berjudul Outbound Love, dan kemudian sekali lagi dalam sebuah drama bersiri tempatan iaitu “The Seeds of Life“.

Susulan daripada tayangan drama-drama tersebut, Sekinchan semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat. Hasilnya, kampung nelayan yang dahulunya sunyi kini telah menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Tapi, jangan bimbang — walaupun sudah lebih moden daripada sebelumnya, kecantikan asli kampung ini masih lagi terpelihara.

Hanya mengambil masa lebih kurang satu setengah jam perjalanan dari ibu negara, Sekinchan merupakan salah satu destinasi ‘balik hari’ yang boleh anda lawati dengan mudah dari Kuala Lumpur.

Waktu Terbaik Untuk ke Sekinchan

Keadaan cuaca di Sekinchan boleh dikatakan tidak berubah sepanjang tahun, dengan suhu sekitar 21ºC hingga 32ºC, dan kebarangkalian hujan pada bila-bila masa.

Namun begitu, bagi sesiapa yang ingin melawat Sekinchan, sudah tentu antara agenda utamanya adalah untuk melihat sawah padi. Jadi, pemilihan waktu untuk datang ke sini haruslah bergantung pada jadual penanaman padi.

Di Sekinchan, padi ditanam dua kali setahun, iaitu pada awal bulan Mac dan awal bulan September. Dari pertengahan Mac hingga Mei, dan dari pertengahan September hingga November, anak-anak padi sudah mula membesar. Waktu ini ialah waktu yang terbaik untuk melihat sawah padi yang menghijau.

Sekinchan pada awal bulan April. Foto: Fadilah Ahmed Supian

Sebaliknya, jika anda ingin melihat sawah padi yang kuning keemasan, datanglah pada pertengahan bulan Mei atau November, sewaktu padi sudah masak dan sedia dituai.

Proses penuaian bermula pada bulan Jun dan Disember, jadi cuba elakkan datang pada waktu ini melainkan anda memang mahu melihat aktiviti penuaian tersebut. Di antara bulan Januari dan Februari, serta Julai dan Ogos, sawah-sawah padi akan menjalani proses pembersihan dan ‘waktu rehat’. Pada ketika itu, sawah akan kelihatan kurang menarik, iaitu seperti padang berlumpur.

Bergantung pada musim dan cuaca, jadual penanaman padi ini mungkin mengalami sedikit perubahan dari tahun ke tahun. Untuk mendapatkan kepastian, sila periksa dengan hotel anda di Sekinchan sebelum membuat tempahan.

Foto: Fadilah Ahmed Supian

Cara Untuk ke Sekinchan

Dengan Kenderaan Sendiri

Cara yang terbaik untuk ke Sekinchan adalah dengan menaiki kenderaan sendiri, kerana ia juga akan memudahkan anda untuk melawat tempat-tempat menarik di sekitar Sekinchan nanti.

Dari Kuala Lumpur, ikut Lebuhraya LATAR dan keluar di Ijok – Kuala Selangor – Sekinchan.

Dengan Pengangkutan Awam

Bagi yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, anda juga boleh melawat Sekinchan dengan menaiki bas dari Pudu Sentral ke Terminal Bas Sekinchan Sentral.

Untuk mengetahui jadual dan tambang bas terkini, sila hubungi syarikat bas SPT Sabak Bernam Ekspres atau aplikasi online seperti Easybook, Redbus, dan sebagainya.

Sabak Bernam Express

Dari Terminal Bas Sekinchan, anda boleh menaiki teksi untuk ke hotel atau meronda di sekitar pekan. Selain itu, anda juga boleh menyewa basikal dari mana-mana kedai sewa basikal yang berhampiran. Sesetengah hotel turut menyediakan basikal sewa untuk pengunjung.

Jika hotel anda terletak berhampiran jalan besar, anda boleh memberitahu pemandu bas untuk menurunkan anda di situ.

Aktiviti-aktiviti Menarik di Sekinchan & Sekitarnya

Sehari sebelum kami bertolak, kami telah menempah pakej lawatan ke Kuala Selangor, iaitu sebuah pekan berhampiran yang terletak kira-kira 28 kilometer dari Sekinchan.

Antara aktiviti-aktiviti yang ditawarkan dalam pakej ini ialah melihat kelip-kelip, memberi makan burung helang, dan melihat ‘Blue Tears’, sejenis mikroorganisma bercahaya di dalam sungai.

Lawatan tersebut dijadualkan bermula pada pukul 5 petang. Memandangkan kami masih ada beberapa jam sebelum ia bermula, kami mengambil peluang untuk melawat ke Muzium Padi terlebih dahulu.

1. Melawat Muzium Padi

Rasanya tak lengkaplah percutian ke Sekinchan jika tidak belajar serba sedikit tentang sawah padi. Di muzium padi ini, anda boleh mempelajari proses penghasilan beras di Sekinchan, dari penyemaian biji benih sehinggalah menjadi beras yang dijual di pasaran.

Memang seronok dapat belajar tentang makanan ruji yang kita makan setiap hari. Tambah menarik lagi, anda juga dapat membawa pulang sepaket beras percuma setiap seorang!

Baca: Melawat Muzium Padi Sekinchan – Belajar Cara Beras Dihasilkan

Muzium Padi, Sekinchan. Foto: Fadilah Ahmed Supian

2. Memberi Makan Helang

Selesai di Muzium Padi, kami terus bertolak ke Kuala Selangor untuk pakej lawatan kami. Aktiviti yang pertama ialah memberi makan helang.

Selepas menyarung jaket keselamatan, kami dibawa menaiki bot. Agak janggal rasanya apabila cuma kami berenam saja yang berada di dalam bot besar itu. Tetapi bagus juga — dapatlah kami bergerak dengan bebas untuk mengambil gambar.

Sampai di suatu tempat di tengah-tengah sungai, enjin bot dimatikan. Pemandu bot kemudiannya menabur makanan ke dalam air dan dalam sekelip mata saja berpuluh-puluh ekor burung datang menyerbu.

Pada mulanya, cuma terdapat burung-burung kecil berwarna putih (saya kurang pasti apa namanya). Tapi tak lama selepas itu, baru kelihatan seekor burung helang. Kemudian, entah dari mana, datang lagi beberapa ekor. Dan tanpa kami sedar, sudah ada hampir 20 ekor yang berlegar-legar di udara sambil menunggu makanan dicampakkan.

Memberi makan helang. Foto: Fadilah Ahmed Supian

Burung-burung helang berkenaan mengekalkan jarak yang agak jauh dari bot kami, manakala burung-burung kecil pula lebih berani untuk terbang dekat, sehingga boleh dicapai dengan tangan.

Kagum kami melihat burung yang sebegitu banyak boleh terbang rapat tanpa berlanggar sesama sendiri.

3. Melihat 'Blue Tears'

Kami mempunyai masa lebih kurang satu jam setengah sebelum aktiviti seterusnya, jadi kami membuat keputusan untuk makan malam lebih awal di restoran berhampiran.

Namun disebabkan ada kemalangan kecil di restoran tersebut (pelayan restoran terjatuh dan menumpahkan kesemua makanan kami ke atas lantai), kami terlewat 30 minit daripada waktu yang ditetapkan.

Akibatnya, kami terpaksa menyertai kumpulan lain untuk aktiviti yang berikutnya iaitu melihat ‘blue tears‘. Di dalam bot, setiap peserta lawatan diberikan sebatang kayu panjang yang di hujungnya terdapat sejenis jaring kecil.

Setibanya di lokasi, pemandu pelancong mengarahkan kami supaya memasukkan jaring-jaring tersebut ke dalam sungai. Apabila jaring tersebut digerak-gerakkan di dalam air, bintik-bintik bercahaya biru mula kelihatan.

Ada di antara kami yang cuba menyalakan lampu telefon bimbit untuk melihat mikroorganisma itu dengan lebih dekat. Namun, cahaya birunya cuma boleh dilihat dalam keadaan gelap gelita. Apabila disuluh lampu, ia cuma kelihatan seperti jeli lutsinar yang sebesar pasir.

Bagi saya, aktiviti ini memang menarik, tetapi tidaklah seindah yang digambarkan di dalam brosur.

Ini cuma gambar hiasan. Blue Tears sebenar tidaklah secantik ini. Sumber: Hans Hillewaert / Wikimedia Commons

4. Menyaksikan Kelip-kelip

Agenda yang seterusnya ialah melihat kelip-kelip, atau nama lainnya kunang-kunang. Kali ini, cuma kami berenam lagi. Kumpulan yang bersama kami tadi sudah menamatkan lawatan mereka.

Ini bukanlah kali pertama saya melakukan aktiviti ini. Beberapa tahun lalu, saya sudah pernah melihat kelip-kelip di Kuala Selangor, tetapi pada waktu itu, bot yang digunakan cumalah sampan kecil yang hanya boleh memuatkan 5 orang termasuk pemandu. Boleh baca artikel penuh di sini.

Kelebihan menggunakan sampan ialah saiznya yang kecil memudahkan kami untuk pergi lebih dekat ke tebing sungai di mana kelip-kelip berkumpul. Sampan juga tidak menghasilkan bunyi kuat yang boleh menakutkan kelip-kelip.

Namun begitu, walaupun bot yang digunakan kali ini lebih besar, kami masih dapat menyaksikan kelip-kelip dari jarak yang agak dekat. Dan disebabkan jumlah kami sedikit, pemandu bot sempat melayan semua kerenah kami yang ingin meletakkan kelip-kelip tersebut di telapak tangan.

Pakej lawatan untuk tiga aktiviti ini adalah berharga RM45 seorang. Kami menggunakan perkhidmatan D Tours.

Sebagai alternatif, anda juga boleh membuat tempahan menggunakan aplikasi Klook:

5. Melawat Sky Mirror (Pantai Sasaran)

Selain tiga aktiviti di atas, anda juga boleh melawat Sky Mirror menggunakan pakej tersebut. Juga dikenali dengan nama Salar de Uyuni Malaysia, Sky Mirrror adalah sebuah ‘pulau ajaib’ yang cuma muncul beberapa hari saja dalam sebulan.

Pada waktu itu, air yang cetek di sekitar ‘pulau’ tersebut akan menghasilkan efek seakan-akan cermin dan membolehkan anda mengambil pelbagai gambar menarik.

Namun begitu, anda harus mengatur masa sebaiknya untuk menyaksikan fenomena tersebut. Malangnya waktu yang kami pilih tidak bersesuaian, maka kami tidak dapat melakukan aktiviti ini.

6. Bergambar di Sawah Padi

Pagi keesokan harinya, Dila (fotografer tegar kumpulan kami) awal-awal lagi sudah keluar untuk mengambil gambar di sawah padi. Seperti yang semua tahu, waktu awal pagi dan lewat petang ialah waktu yang terbaik untuk mendapatkan pencahayaan optimum.

Tetapi, kami yang lain ini semuanya sayang untuk meninggalkan tilam dan bantal empuk masing-masing. Pada pukul 10 pagi, barulah kami keluar dari selimut. Namun pada ketika itu, matahari sudah tegak di atas kepala, seolah-olah sudah pukul 1 tengah hari.

Jadi, pesan kami kepada semua, pastikan anda membawa topi, cermin mata gelap, dan tabir suria secukupnya untuk melawat ke Sekinchan kerana panasnya lain macam.

Foto: Fadilah Ahmed Supian

Pastikan juga anda tidak memijak atau merosakkan padi semata-mata untuk mendapatkan gambar yang cantik. Ingat — sawah padi itulah sumber makanan dan rezeki masyarakat di sana!

7. Berbasikal Keliling Kampung

Berbasikal di Sekinchan.

Berbasikal ialah cara yang paling menyeronokkan untuk melihat Sekinchan. Jalan-jalan di sana yang semuanya berada dalam keadaan baik dan tidak banyak kereta memudahkan lagi perjalanan anda.

Basikal boleh disewa di beberapa buah kedai sewa basikal di pekan Sekinchan dan juga di sesetengah hotel. Hotel kami, Padi Box ada menyediakan basikal sewa dengan kadar harga RM10 untuk 2 jam bagi penginap hotel (atau RM10 sejam bagi pengunjung lain).

8. Mengimbau Memori di Ah Ma House

Ah Ma House (yang bermaksud Rumah Nenek) adalah sebuah pusat tarikan pelancong yang unik di Sekinchan. Ia mempamerkan perkakas-perkakas rumah dari zaman dahulu seperti jam lama, pelita minyak tanah dan telefon putar.

Golongan ‘millennial‘ seperti saya mungkin mengenali kebanyakan barangan tersebut, namun golongan Gen Z mungkin akan berasa pelik dan hairan.

Selain mempamerkan barangan antik, Ah Ma House turut menjual biskut dan snek tradisional yang pastinya akan menggamit memori silam anda di zaman kanak-kanak.

9. Berkelah di Pantai Redang

Terletak 5 kilometer dari Sekinchan, Pantai Redang (jangan tertukar dengan Pulau Redang!) bukanlah pantai yang paling cantik di Malaysia, tetapi ia tetap menawarkan pemandangan yang menarik untuk bergambar dan beristirehat.

Makanan dan minuman ada dijual di gerai-gerai di tepi pantai, termasuk air kelapa muda, aiskrim dan air tebu. Turut tersedia ialah buaian, hammock, pondok-pondok kecil dan jungle gym kanak-kanak. Anda juga boleh bermain layang-layang atau buih sabun yang ada dijual di sana.

 Foto: Fadilah Ahmed Supian
Foto: Fadilah Ahmed Supian

10. Melawat 'Pokok Hajat'

The Wishing Tree, Sekinchan

Berdekatan dengan pantai, anda akan melihat sebatang pokok yang agak ganjil kerana setiap dahannya dipenuhi reben-reben berwarna merah. Setiap reben ini mengandungi hajat seseorang.

Menurut kepercayaan masyarakat di sana, pokok hikmat ini boleh menunaikan apa sahaja hajat anda. Sesiapa yang ingin mengemukakan hajat mereka haruslah mendapatkan reben merah dari tokong bersebelahan (dengan sedikit bayaran), kemudian menulis hajat dan nama mereka pada reben tersebut sebelum membalingnya ke atas pokok.

Hujung reben tersebut sudah diikat dengan wang syiling untuk memudahkan proses. Lebih tinggi reben anda berada di atas pokok tersebut, lebih besar peluang untuk hajat anda ditunaikan. Namun, ada satu syarat: anda harus merahsiakan hajat anda daripada orang lain!

11. Melawat Perkampungan Nelayan

Perkampungan nelayan utama di sana ialah Bagan, yang terletak di sepanjang sungai di arah barat daya pekan Sekinchan. Waktu paling meriah adalah pada waktu pagi, iaitu semasa nelayan-nelayan sedang bersedia untuk turun ke laut, atau pada waktu petang semasa nelayan pulang membawa hasil tangkapan. Pada waktu lain, kampung itu agak sepi.

Di Bagan, anda akan menemukan banyak restoran makanan laut serta produk hasil laut yang boleh dibeli untuk dibawa pulang. Terdapat juga sebuah kilang membuat bot yang boleh dilawati untuk menyaksikan bagaimana bot dibina dan dibaikpulih.

12. Melawat Tokong Nan Tian

Kedua-dua industri utama Sekinchan, iaitu perikanan dan pertanian, adalah bergantung tinggi pada faktor cuaca. Oleh itu, anda akan melihat banyak tokong Cina dan gereja di mana penduduk tempatan pergi berdoa agar dikurniakan cuaca yang baik, lautan yang tenang dan tanaman yang subur.

Tokong Cina yang paling terkenal di Sekinchan ialah Tokong Nan Tian Gong (Nine Emperors God Temple), yang dibina pada tahun 1984. Anda boleh naik ke tingkat dua untuk melihat pemandangan indah sawah padi.

13. Belajar Tentang Penternakan Burung Walit

Bagi masyarakat Cina, sup sarang burung adalah sejenis hidangan yang dianggap eksklusif. Turut digelar ‘sup maharaja’, makanan yang baik untuk kesihatan ini dahulunya dikhaskan untuk golongan elit dan diraja di negara China.

Jika suatu masa dahulu, sarang burung hanya boleh dijumpai jauh di dalam gua, pada zaman sekarang, pakar penternak burung walit (swiftlet) telah menemukan kaedah yang lebih mudah dan efektif.

Rumah-rumah burung, atau “swiftlet house” akan dibina di tengah-tengah sawah dan dalamannya direka khas agar menyerupai persekitaran di dalam gua. Ini akan menarik minat burung walit untuk datang membuat sarang di situ. Kaedah ini menghasilkan sarang burung yang lebih bersih dan memudahkan tugas pemungut sarang burung.

Penternakan burung walit merupakan sebuah industri yang agak baru di Sekinchan. Terdapat kira-kira 350 unit rumah burung yang telah dibina di tengah sawah. Anda boleh masuk ke dalam rumah-rumah ini untuk meninjau keadaan di dalamnya.

Rumah burung. © CEphoto, Uwe Aranas

14. Melawat Khind Galleria

Khind-Mistral Industries Ltd adalah sebuah syarikat pembuatan barangan elektrik dan elektronik tempatan. Ditubuhkan pada tahun 1961, syarikat ini cukup dikenali dengan produknya yang berkualti tinggi dan tahan lama.

Di Khind Galleria, anda boleh melihat pameran produk yang pernah dihasilkan oleh syarikat tersebut dari hari pertama penubuhannya sehingga ke hari ini. Dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Kemasukan adalah percuma.

15. Mendaki Bukit Malawati

Bukit Malawati terletak berhampiran Kuala Selangor dan menghadap Selat Melaka. Di puncaknya terdapat sebuah rumah api dan tinggalan kubu Kota Malawati.

Kubu tersebut dibina pada kurun ke-18 sebagai benteng pertahanan daripada kemasukan Belanda. Namanya kemudian ditukar kepada Fort Altingburg selepas berjaya ditakluki Belanda. Walaupun berjaya dirampas semula selepas itu, ia akhirnya musnah dalam peperangan.

Bukit Malawati juga terkenal dengan monyet daun perak dan kera ekor panjang. Antara tarikan-tarikan lain ialah kereta api (tram), makam diraja dan muzium.

Bukit Melawati. Sumber: ZKang123 / Wikimedia Commons

16. Mencuba Makanan Tempatan

Sebagai perkampungan yang berasaskan pertanian dan perikanan, tidak hairanlah jika Sekinchan kaya dengan hasil laut dan hasil tani. Jadi, jika anda berkunjung ke Sekinchan, jangan lupa untuk mencuba hidangan makanan laut dan buah-buahan di sana. Berikut ialah makanan dan tempat makan menarik di Sekinchan:

Hidangan & Tempat Makanan Menarik di Sekinchan

1. Kafe Bas N16

N16 Bus Cafe. Foto: Fadilah Ahmed Supian

Kafe Bas N16 ialah kafe yang paling unik yang pernah saya temui. Ruang makannya terletak di dalam sebuah bas yang berada di atas sebuah kontena. Kontena tersebut berfungsi sebagai dapur.

Kafe yang berhawa dingin ini memberikan sedikit kelegaan daripada panas terik mentari. Sambil menghirup kopi, anda juga boleh menikmati pemandangan sawah di sekeliling.

Jika anda gemarkan sesuatu yang kreatif dan lain dari yang lain, ini ialah tempat wajib untuk anda. Kafe Bas N16 Bus Cafe terletak betul-betul bersebelahan dengan tempat penginapan kami, Padi Box, malangnya ia tidak dibuka sepanjang kami berada di sana.

2. Cendol Beras Mutiara di Muzium Padi

Cendol beras mutiara di Muzium Padi, Sekinchan

Tidak dapat disangkal lagi, cendol ialah salah satu pencuci mulut yang menjadi kegemaran seluruh rakyat Malaysia. Gabungan santan yang lemak berkrim dengan gula melaka, jagung manis, kacang merah, jeli pandan dan ais sememangnya mengasyikkan terutama pada hari panas.

Tetapi apa yang membuatkan cendol di sini menarik ialah kehadiran satu lagi bahan, iaitu beras mutiara, sejenis beras pendek yang bertekstur seakan-akan beras Jepun. Selain cendol, Muzium Padi turut menjual aiskrim, kerepek beras, kerepek ubi, kerepek pisang, dan bermacam-macam lagi.

3. Mangga Segar di Mango King

Padi bukan satu-satunya hasil tanaman di Sekinchan. Mangga juga turut diusahakan secara komersil. Anda boleh mendapatkan buah mangga di gerai-gerai di tepi jalan, tetapi jika anda mahukan sesuatu yang lebih istimewa, jangan lupa berkunjung ke gerai Mango King yang terletak tidak jauh dari Muzium Padi.

Di sini, anda boleh mencuba minuman smoothie mangga yang rasanya cukup mewah dan asli tanpa sebarang perasa tiruan.

Selain minuman mangga, Mango King juga ada menjual makanan ringan dan minuman-minuman lain.

4. Makanan Laut

Pepahat masak cili padi.
Asam pedas ikan pari.

Rugi kalau berkunjung ke Sekinchan tetapi tidak mencuba makanan laut di sana. Sekinchan mempunyai banyak restoran makanan laut, baik restoran Melayu mahupun Cina.

Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, kami singgah di Restoran Faridah Mentarang Bakar untuk mencuba hidangan istimewa di Sekinchan iaitu sejenis makanan laut yang diberi nama mentarang.

Mentarang ini bersaiz lebih besar daripada kupang tetapi mempunyai rasa yang tidak begitu kuat. Satu lagi makanan yang kami cuba buat pertama kali ialah belangkas bakar.

Belangkas dan mentarang bakar.

5. Coconut Shake di Ladang Kelapa Sekinchan

Kalau anda menyangka sudah tiada lagi tempat menarik di Sekinchan, anda silap kerana Sekinchan juga mempunyai sebuah tempat makan unik yang berada di tengah-tengah ladang kelapa.

Di sini, anda boleh berteduh dan berehat sambil menghirup segelas coconut shake yang segar lagi menyegarkan.

Ladang kelapa Sekinchan hanya dibuka untuk orang ramai pada hari Sabtu dan Ahad dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Contoh makanan lain yang terdapat dalam menu ialah air kelapa pandan, biskut kelapa, gula-gula kelapa, puding kelapa, waffle, ayam goreng, keropok udang, telur herba, roti canai pelangi, popiah, oden, dumpling, rojak, jagung manis, buah-buahan, keropok lekor dan nasi lemak.

Berapa Lama Masa yang Diperlukan di Sekinchan

Memandangkan jaraknya yang tidak begitu jauh dari Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain di Selangor, Sekinchan boleh dijadikan destinasi ‘balik hari’. Sekiranya anda bertolak awal dan cuaca baik sepanjang hari tersebut, tidak mustahil anda boleh melawat ke kesemua tempat menarik di Sekinchan dalam masa satu hari.

Namun, saya sarankan bermalam sekurang-kurangnya satu malam di Sekinchan untuk merasai pengalaman tidur di tengah sawah.

Where to Stay in Sekinchan

Sekinchan memang tidak ketandusan tempat menarik, bahkan tempat-tempat penginapan di sana juga cukup unik. Jenis penginapan yang paling trending pada ketika ini ialah hotel kontena seperti hotel pilihan kami:

Padi Box Homes & Cafe

Merupakan hotel kontena yang paling popular di Sekinchan, penginapan yang mesra alam sekitar ini kelihatan cantik dari luar dan dalam. Setiap kontena dicat dengan warna-warna pastel yang berlainan, menghasilkan suasana riang dan ceria. Ia mengingatkan saya pada taman tema dan gula-gula kapas!

Hiasan dalamannya juga begitu bergaya sekali. Ruangan yang terhad di dalam kontena itu dimanfaatkan sepenuhnya sehinggakan anda lupa bahawa anda berada di dalam sebuah kontena.

Padi Box terletak di tengah-tengah sawah padi dan menjanjikan pemandangan indah bendang terus dari katil. Harga bermula dari RM118 satu malam untuk Bilik Standard 2 Orang.

Baca reviu penuh di sini: Padi Box, Sekinchan — Penginapan Unik Kontena di Tengah Sawah

Farm Ville Cafe & Homestay

Jika Padi Box dicat berwarna-warni, Farm Ville Cafe & Homestay pula menggunakan warna tema hitam dan merah, memberikan kontras yang menarik dengan pemandangan sawah. Kedudukannya tidak jauh dari Padi Box, jadi kami sempat singgah seketika.

Inap desa ini dilengkapi dengan kolam renang, gelongsor air, trampolin, kemudahan BBQ, meja ping pong dan karaoke. Harga bermula dari RM98 satu malam untuk Bilik Deluxe Twin atau King.

Villa Chee

Warnanya yang hijau terang membuatkan Villa Chee kelihatan seperti sebahagian daripada sawah padi di sekelilingnya.

Penginapan ini mempunyai taman, kolam renang dan kelengkapan BBQ di atas bumbung. Sesetengah bilik dilengkapi dengan balkoni peribadi. Harga bermula dari RM205 satu malam untuk Bilik Superior Queen atau Deluxe.

Villa Chee. Sumber: Booking.com

Tidak berminat dengan hotel kontena? Mahukan sesuatu yang lebih konvensional? Klik di sini untuk melihat senarai hotel dan inap desa di Sekinchan.

Akhir Kata

Setelah lebih sedekad menetap di Selangor, baru sekarang saya tahu betapa banyaknya tempat menarik di Sekinchan. Dan memandangkan saya belum berpeluang melawat kesemuanya, berkemungkinan besar akan ada lagi trip ulangan selepas ini.

Sekali lagi, di sini ada beberapa peringatan mesra buat anda yang ingin berkunjung ke Sekinchan:

  • Cuaca di Sekinchan pada waktu tengah hari adalah sangat panas. Sediakan topi / cermin mata gelap / tabir suria atau ketiga-tiganya sekali.
  • Pemilihan tarikh yang sesuai adalah amat penting untuk melawat Sekinchan. Pastikan anda memeriksa dahulu jadual penuaian padi, dan jika ingin ke Sky Mirror, pastikan anda periksa jadual pasang surut juga.
  • Sekinchan biasanya lebih meriah pada hujung minggu. Pergi pada hari biasa untuk mengelakkan orang ramai, tetapi ada juga kedai yang hanya dibuka pada hujung minggu.
  • Hormati tanaman padi yang menjadi sumber rezeki masyarakat di sana. Jangan rosakkan periuk nasi mereka hanya kerana sekeping gambar.

Pernahkah anda melawat Sekinchan? Apakah aktiviti yang paling anda gemari di sana? Kongsikan di ruangan komen di bawah.

Posted in BM

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *