Padi Box, Sekinchan – Penginapan Unik Kontena di Tengah Sawah
Bahasa Malaysia | English
Padi Box, Sekinchan – Hotel Unik di Tengah Sawah
Bagi mereka yang dilahirkan dan dibesarkan di kampung, mungkin akan berasa pelik apabila mendengar ada orang yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk tidur di sawah padi.
Tapi itulah hakikatnya. Kalau saya sanggup terbang beribu batu untuk tidur di dalam kandang lembu di Switzerland, apalah sangat setakat menaiki kereta beberapa jam untuk ke Sekinchan?
Kebetulan pula, saya belum pernah lagi menjejakkan kaki ke Sekinchan, yang merupakan salah satu destinasi percutian ‘balik hari’ dari Kuala Lumpur.
Cuma kali ini, saya dan rakan-rakan memilih untuk bermalam. Bukan di hotel biasa-biasa, tetapi di dalam sebuah kontena di tengah sawah.
Baca juga: Pengalaman ‘Glamping’ di Tadom Hill Resort – Penginapan Unik Bertemakan Buluh
This post may contain affiliate links, which means I may earn a commission at no extra cost to you. As an Amazon Associate, I earn from qualifying purchases. For more details, please read my Privacy Policy.
Padi Box Sekinchan
Padi Box ialah sebuah penginapan berkonsepkan kontena di Sekinchan, Selangor.
Berbeza dengan hotel biasa, bilik-bilik di sini dibina menggunakan kontena yang telah diubah suai dan dicat dengan warna-warna ceria. Hasilnya, Padi Box kelihatan sangat menonjol dengan latar belakang sawah padi yang menghijau.

Padi Box sesuai untuk pasangan, keluarga, rakan-rakan, atau sesiapa saja yang mencari tempat penginapan yang sedikit berbeza daripada kebiasaan. Ia bukan sebuah resort mewah, tetapi cukup menarik, selesa, dan mempunyai keunikan tersendiri.
Tempahan bilik boleh dibuat di laman web mereka atau di platform tempahan seperti Booking.com, Agoda dan Klook.
Lokasi Padi Box
Padi Box terletak di Sekinchan, kira-kira 1.5 hingga 2 jam perjalanan dari Kuala Lumpur, bergantung pada keadaan trafik.
Alamat:
Padi Box Homes & Cafe
Jalan Tali Air 4
Kampung Parit Empat
45400 Sekinchan
Selangor, Malaysia
Lokasinya berada di luar kawasan pekan utama Sekinchan, tetapi masih tidak terlalu sukar untuk mencari tempat makan sekiranya anda mempunyai kenderaan sendiri.
Cara untuk ke Padi Box Sekinchan
Dengan kereta
Memandu kenderaan sendiri ialah cara yang paling mudah untuk ke Padi Box Sekinchan. Ikut Lebuhraya LATAR dan keluar di Ijok – Kuala Selangor – Sekinchan.
Dari Kuala Lumpur, anda boleh menggunakan Lebuhraya LATAR menuju ke Kuala Selangor dan seterusnya ke Sekinchan. Sebelum tiba di pekan Sekinchan, cari simpang ke Jalan Tali Air 4. Padi Box terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama.
Dengan pengangkutan awam
Berdasarkan maklumat yang ditemui dalam talian, anda boleh menaiki bas dari stesen Pudu Sentral atau Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Sekinchan, Sabak Bernam atau Kuala Selangor.
Jarak antara terminal bas Sekinchan dengan Padi Box adalah kira-kira 5 minit perjalanan menaiki kereta. Untuk ke sana, anda boleh mendapatkan teksi atau Grab.
Jika anda datang tanpa kereta, rancang pergerakan dan makan minum dengan lebih teliti kerana pengangkutan awam di Sekinchan tidak sebanyak di bandar-bandar besar.
Pilihan bilik di Padi Box Sekinchan

Padi Box mempunyai beberapa jenis bilik, termasuk bilik untuk pasangan, keluarga, dan kumpulan kecil.
Anda juga boleh memilih bilik yang mempunyai tingkap di tepi katil supaya anda boleh menikmati pemandangan sawah padi sebaik saja bangun dari tidur.
Kesemua bilik di Padi Box dilengkapi dengan penyaman udara dan bilik mandi peribadi.
Kemudahan di Padi Box
Semasa kunjungan kami, terdapat ruang santai di tingkat atas yang dilengkapi sofa, meja permainan, permainan video, daun terup, dan soket elektrik. Tempat ini sesuai untuk melepak, terutama jika anda datang bersama keluarga atau rakan-rakan.
Basikal juga ada disediakan untuk disewa, bergantung pada ketersediaan. Berbasikal merupakan salah satu cara terbaik untuk meneroka kawasan sawah padi di sekitar Padi Box, terutama pada waktu pagi atau lewat petang apabila cuaca tidak terlalu panas.
Di hadapan kawasan Padi Box pernah terdapat sebuah kafe bas, tetapi kafe ini kini telah ditutup.

Pengalaman kami di Padi Box Sekinchan
Walaupun tempahan bilik dibuat pada saat-saat akhir, kami bernasib baik kerana berjaya mendapatkan bilik yang mempunyai tingkap.
Waktu untuk daftar masuk adalah pada pukul 3 petang, tetapi kami tiba sejam lebih awal dengan harapan boleh masuk awal. Namun bilik masih belum siap, maka kami terpaksa menunggu sehingga lebih kurang pukul 2.30 petang.
Sementara menunggu, sempat juga kami mengambil gambar di sekitar kawasan penginapan kerana dekorasi landskapnya begitu menarik dan lebih seronok lagi, tiada tetamu lain selain kami.


Pada awalnya, kami ingin mendapatkan bilik di tingkat atas kerana pemandangannya sudah tentu lebih cantik, tapi sayangnya semua bilik untuk 6 orang adalah di tingkat bawah.
Walau bagaimanapun, kami tidak kecewa kerana pemandangan dari bilik kami juga sudah cukup cantik walaupun dari tingkat bawah.
Tambahan pula, katil super king yang diletakkan di tepi tingkap itu tinggi (seperti katil double decker), jadi kami masih dapat melihat sawah padi dari sudut yang lebih tinggi.

Selain daripada katil super king tersebut, bilik kami juga dilengkapi dengan:
- 2 katil double-decker (bersaiz super single)
- bilik mandi dan tandas
- sinki
- TV LED
- rak kasut
- tuala, syampu, dan gel mandian
- tisu tandas
- air minuman
- pengering rambut
- seterika
- cerek elektrik
- cawan
Walaupun ada cawan dan cerek elektrik, sudu, kopi, dan teh tidak disediakan semasa kunjungan kami. Jadi, jika anda ingin minum pagi di bilik, anda perlu membawa sachet minuman dan sudu sendiri.
Memandangkan bilik ini dibina daripada kontena, ruangnya agak terhad. Namun, saya suka cara ruang kecil itu dimanfaatkan. Segalanya nampak kemas, bersih, dan tersusun.
Hiasan dalamannya juga menarik, dengan beberapa sudut yang sesuai untuk bergambar tanpa perlu keluar dari bilik.
Selain itu, tempat tidur kami juga sangat selesa dengan tilam dan bantal empuk serta selimut tebal ala hotel mewah. Saiz katilnya cukup besar, terutama katil super king di tepi tingkap yang boleh memuatkan sehingga 3 orang.
Di bahagian bawah pula terdapat ruang rehat untuk menonton TV, lengkap dengan kusyen, beruang teddy bersaiz gergasi, dan karpet rumput yang disesuaikan dengan tema sawah padi di luar.
Secara keseluruhan, kami amat berpuas hati dengan bilik tersebut. Cuma kekurangannya, TV di bilik kami tidak mempunyai siaran semasa kunjungan itu, dan WiFi pula tidak begitu stabil.
Jika anda bercadang untuk berehat di bilik pada waktu malam, mungkin boleh bawa hiburan sendiri seperti filem yang sudah dimuat turun, buku, atau permainan kad.
Pada pagi keesokan harinya, kami menyewa basikal untuk melihat kawasan sekitar.
Berbasikal merupakan salah satu aktiviti paling menyeronokkan di Sekinchan, terutama jika anda datang ketika sawah sedang menghijau. Laluan di sekitar sawah agak tenang dan sesuai untuk berbasikal santai sambil menikmati pemandangan desa.
Pilihan makanan di Padi Box Sekinchan
- Harga bilik semasa kunjungan kami adalah tidak termasuk sarapan, tetapi anda boleh menempahnya dengan bayaran tambahan.
- Padi Box turut menawarkan pakej BBQ (perlu ditempah lebih awal). Sila rujuk laman web atau hubungi pihak penginapan untuk maklumat terkini.
- Di hadapan Padi Box terdapat sebuah kafe bas (N16 Cafe), tetapi malangnya ia tidak dibuka semasa kami di sana.
- Sekiranya membawa kenderaan sendiri, anda juga boleh mendapatkan lebih banyak pilihan makanan di bandar Sekinchan.
- Sekinchan terkenal dengan makanan laut. Jangan lupa untuk mencuba mentarang, sejenis hidupan laut bercengkerang yang sangat popular di Sekinchan.
Aktiviti menarik sekitar Padi Box
Padi Box boleh dijadikan tempat bermalam yang sesuai jika anda ingin meneroka Sekinchan dengan lebih santai.
Antara aktiviti menarik berhampiran Padi Box adalah:
- berbasikal di sekitar sawah padi
- mengambil gambar di kawasan sawah
- melawat galeri atau tarikan berkaitan padi
- mencuba makanan laut di pekan Sekinchan
- melawat perkampungan nelayan
- singgah di Pantai Redang Sekinchan
- membeli produk beras atau makanan tempatan
- mencuba buah-buahan dan makanan ringan tempatan mengikut musim
Sekinchan memang boleh dilawati sebagai destinasi balik hari dari Kuala Lumpur, tetapi bermalam di sini memberi anda lebih banyak masa untuk menikmati suasana tanpa perlu tergesa-gesa.
Akhir kata

Tidak dapat disangkal lagi, Padi Box Sekinchan sememangnya antara tempat penginapan yang paling unik di Malaysia.
Hanya satu jam setengah dari Kuala Lumpur, anda dapat lari dari kesibukan kota dan merehatkan diri dalam kedamaian suasana desa sambil diasyikkan oleh keindahan sawah menghijau.
Tidak seperti sesetengah hotel yang hanya cantik dari luaran, Padi Box bukan sekadar rupa, tetapi juga bersih, selesa, dan cukup lengkap untuk percutian singkat.
Untuk maklumat lanjut tentang Sekinchan, termasuk aktiviti-aktiviti menarik, pilihan tempat makan, jadual penuaian padi, serta tempat penginapan yang ada, sila baca artikel ini: 16 Aktiviti Menarik di Sekinchan dan Kuala Selangor.
Padi Box Homes & Cafe
Alamat: Lot 11126, Jalan Tali Air 4, 45400 Sekinchan, Selangor, Malaysia.
Laman Web: Padi Box
Tel / WhatsApp: 019-320 5688
