Menu Close

Bahasa Malaysia | English

Mendaki Bukit Batu Putih Tanjung Tuan Port Dickson

Bukit Batu Putih Tanjung Tuan memiliki nama yang sama dengan sebuah bukit yang terletak di Gopeng Perak, jadi jangan keliru! Walaupun bukit ini sebenarnya terletak di negeri Melaka, lokasinya yang berdekatan dengan Port Dickson membuatkan ia lebih dikenali umum sebagai Bukit Batu Putih Port Dickson.

Bagi kebanyakan pengunjung, tarikan utama Bukit Batu Putih Tanjung Tuan ialah pemandangan indah laut biru Selat Melaka yang boleh dinikmati dari puncak. Bukit ini terdiri daripada batuan kuarza yang berusia lebih 200 juta tahun serta satu-satunya hutan hujan tropika yang terletak di pesisir laut di Malaysia.

Dan yang paling penting, lokasinya mudah saja untuk ditujui. Terletak cuma 20 kilometer dari bandar Port Dickson, trek pendakiannya juga cukup mudah untuk seisi keluarga.

Pemandangan dari puncak Bukit Batu Putih, Tanjung Tuan

Nota: Setakat ini, saya telah mendaki Bukit Batu Putih sebanyak tiga kali. Gambar-gambar yang dikongsi dalam artikel ini adalah daripada ketiga-tiga trip pendakian tersebut.

Tanjung Tuan / Cape Rachado

Tanjung Tuan pada asalnya dinamakan Cape Rachado (bermaksud ‘tanjung retak’) oleh orang Portugis pada zaman penjajahan mereka, iaitu sekitar abad ke-16. Tanjung Tuan terletak di tengah-tengah di antara Melaka dan Negeri Sembilan.

Pesisir pantai Tanjung Tuan ini terkenal sebagai tempat pertempuran tentera laut Portugis dengan Belanda pada tahun 1606. Pertempuran itu merupakan yang pertama dalam rentetan konflik antara kedua-dua kuasa besar Eropah itu dan berakhir dengan kemenangan Belanda pada tahun 1641.

Di sini juga terdapat rumah api Cape Rachado, yang dibina dalam era yang sama dan merupakan rumah api tertua di Malaysia. Rumah api tersebut telah dibina semula sebanyak dua kali dan kini menempatkan radar MEASAT yang masih aktif.

Rumah Api Cape Rachado. Foto: Matthew Laird Acred / Wikimedia Commons

Selain daripada itu, Tanjung Tuan juga merupakan destinasi popular bagi pencinta unggas. Setiap tahun, acara Raptors Watch diadakan di sini untuk mereka yang ingin menyaksikan burung-burung pemangsa seperti helang dan burung hering yang sedang berhijrah dari Rusia ke Australia.

Cara Untuk ke Bukit Batu Putih, Tanjung Tuan

Untuk mendaki Bukit Batu Putih, anda perlu melalui pintu masuk Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, yang boleh dijumpai dengan mudah jika menggunakan Google Maps atau Waze. Pintu masuk tersebut berada di seberang PNB Ilham Resort. Tempat letak kenderaan ada disediakan di sepanjang jalan menuju ke pintu masuk.

Setakat ini, satu-satunya cara untuk ke Tanjung Tuan adalah dengan menaiki kenderaan sendiri kerana masih belum ada pengangkutan awam yang datang ke sini.

Jika tidak memiliki kenderaan peribadi, anda boleh cuba menaiki teksi dari Port Dickson atau meminta bantuan hotel di sana untuk menguruskan pengangkutan untuk anda.

Waktu Terbaik Untuk Mendaki Bukit Batu Putih

Kalau lazimnya para pendaki gemar memilih waktu awal pagi untuk memulakan pendakian supaya dapat melihat matahari terbit di puncak, malang sekali di Bukit Batu Putih tidak boleh.

Ini kerana Hutan Rekreasi Tanjung Tuan hanya dibuka dari jam 7:00 pagi hingga 6:00 petang setiap hari. Ini juga bermaksud anda tidak akan berpeluang menyaksikan matahari terbenam di sana.

Cuaca sangat panas pada pukul 11 pagi — kami hampir tidak dapat membuka mata.

Kebanyakan pengunjung tiba awal untuk mengelakkan cuaca panas. Walaupun hampir keseluruhan trek terlindung di bawah pokok-pokok, haba matahari masih terasa, terutama berhampiran puncak. Pastikan anda membawa tabir suria dan air minuman yang secukupnya jika memilih untuk mendaki pada waktu tengah hari.

Hujung minggu dan cuti umum merupakan waktu yang sangat sibuk di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan dengan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri. Rancang perjalanan anda dengan baik untuk mengelakkan kesesakan.

Pengalaman Mendaki Bukit Batu Putih

Selepas memasuki pintu pagar utama, ada sebuah pondok kecil di mana anda perlu membayar caj masuk sebanyak RM1 seorang. Sebuah gerai berhampiran ada menjual minuman dan makanan ringan. Di sini juga merupakan peluang terakhir anda untuk menggunakan tandas sebelum memulakan pendakian kerana tiada tandas awam lain yang disediakan sepanjang trek.

Dari pintu masuk, anda perlu berjalan melalui jalan berturap yang menghala ke Rumah Api Cape Rachado. Jalan ini agak curam dan memenatkan. Namun, terdapat beberapa pondok dan bangku tempat berehat.

Di jalan berturap.

Untuk mendaki ke puncak Bukit Batu Putih, anda mempunyai dua pilihan iaitu jalan pantai dan jalan hutan.

Jalan pantai adalah lebih panjang (mengambil masa kira-kira sejam) dan sedikit sukar. Pertama, anda perlu masuk ke dalam hutan dan turun ke Monkey Bay (ya, anda mungkin akan menemui banyak monyet di sana). Kemudian, anda harus mendaki ke puncak melalui jalan curam yang hanya boleh diakses sewaktu air laut surut. Sewaktu air pasang, kawasan ini ditenggelami air dan agak berbahaya kerana arus deras.

Jalan hutan pula adalah lebih pendek dan mudah. Untuk ketiga-tiga kali kunjungan saya ke Bukit Batu Putih, saya memang memilih jalan ini kerana saya sebenarnya bukanlah orang yang begitu lasak. Kalau ada jalan mudah untuk ke puncak, saya akan memilih jalan mudah. Permulaan jalan hutan ini terletak kira-kira 20 minit dari pagar utama, sebelum rumah api.

Jalan hutan bermula di sini. Terdapat papan tanda kecil yang diikat pada pokok.

Untuk masuk ke hutan dari jalan yang berturap tadi, anda perlu memanjat tebing yang agak tinggi. Tetapi jangan menyangka keseluruhan perjalanan anda akan sesukar ini. Sejurus anda memasuki hutan, perjalanannya santai sahaja. 

Semakin jauh anda berjalan, bunyi ombak akan kedengaran semakin jelas. Ini menandakan anda sudah hampir tiba. Sesekali, anda juga akan dihadiahkan dengan pemandangan laut dari celah-celah rimbunan pokok.

Pokok tumbang di tengah-tengah trek.

Lebih kurang 15 minit dari permulaan jalan hutan tadi, trek akan mula menurun sedikit dan anda akan menemui sebuah kawasan berbatu yang akan membawa anda ke puncak. Kawasan berbatu inilah yang memberi nama kepada Bukit Batu Putih.

Walaupun sedikit mencabar, sebenarnya ia tidaklah begitu sukar untuk didaki. Pastikan anda sentiasa berhati-hati, fokus pada setiap langkah yang diambil dan tidak tergopoh-gapah.

Terdapat tali yang disediakan untuk membantu pendaki naik dan turun. Walau bagaimanapun, saya kurang pasti sudah berapa lama tali tersebut berada di situ dan sama ada ia masih selamat untuk digunakan. Jadi, guna atas risiko anda sendiri!

Di kawasan berbatu berhampiran puncak.

Apabila tiba di puncak Bukit Batu Putih yang berketinggian 285 meter dari aras laut, saya jamin anda tidak akan menyesal bangun pagi dan bermandi peluh untuk sampai ke tempat ini. Pemandangan dari atas bukit tersebut merupakan antara yang tercantik yang pernah saya lihat.

Jika anda melawat pada hujung minggu, kawasan puncak ini biasanya akan dipenuhi orang. Anda mungkin terpaksa menunggu giliran untuk mengambil gambar. Jadi, pastikan anda tidak berada terlalu lama di puncak — beri peluang kepada orang lain juga untuk naik.

Walaupun dalam gambar ini nampak rendah, kami sebenarnya berada hampir 300 meter dari aras laut.

Setelah selesai mengambil gambar, kami berpatah balik menggunakan jalan yang sama untuk kembali ke pintu masuk. Sebelum itu, kami sempat juga meninjau di sekitar rumah api (malangnya rumah api tersebut tidak dibuka kepada orang awam).

Sewaktu sedang berehat di bawah pokok berhampiran dengan rumah api, tiba-tiba kami terasa seperti ada titisan hujan menitik di kepala. Pelik, cuaca panas dan tiada sebarang tanda akan hujan.

Setelah mendongak ke atas, barulah kami sedar bahawa ada sekumpulan monyet yang sedang bertenggek pada dahan. Rupa-rupanya monyet-monyet Tanjung Tuan telah memberikan kami sedikit ‘buah tangan’ sebelum kami pulang.

Tahap Kesukaran Bukit Batu Putih

Trek pendakian Bukit Batu Putih boleh dikategorikan sebagai sangat mudah dan cuma mengambil masa sebanyak 30 – 40 minit dari pagar besar sehinggalah ke puncak. Bahkan, saya ada melihat ibu bapa yang membawa anak-anak datang ke sini.

Cuma ada satu bahagian yang agak mencabar, iaitu bahagian terakhir menuju ke puncak yang memerlukan sedikit kemahiran dan tenaga untuk memanjat batu.

Jika tujuan asal anda hanyalah untuk beriadah dan bukan untuk menawan puncak, anda boleh sahaja berhenti dan berpatah balik sebaik sahaja menemui kawasan berbatu tersebut. Namun, sekiranya mampu, saya sarankan anda teruskan mendaki sampai ke puncak kerana pemandangan di atas sana memang berbaloi.

Sekali lagi bergambar di pokok tumbang.

Mendaki Tanpa Pemandu Pelancong

Di jalan berturap menuju ke permulaan trek.

Kebanyakan pelawat yang mengunjungi Bukit Batu Putih datang secara berkumpulan bersama teman-teman atau ahli keluarga, tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong.

Disebabkan tempat ini begitu popular, trek pendakiannya juga sudah menjadi luas, mudah dilihat dan bebas dari semak-samun kerana sudah terlalu kerap dipijak orang. Kebarangkalian untuk sesat adalah sangat tipis.

Jika anda tidak berteman serta kurang yakin untuk mendaki bersendirian, cuba datang pada hujung minggu atau hari cuti umum kerana kawasan ini biasanya akan meriah dengan pengunjung.

Barang-barang Yang Perlu Dibawa

  • Seperti biasa, benda yang paling penting untuk dibawa semasa mendaki ialah air minuman yang mencukupi. Berhampiran pintu masuk terdapat sebuah kedai kecil yang menjual minuman dan makanan ringan, tetapi jika anda sampai pada awal pagi, kemungkinan besar kedai ini belum dibuka.
  • Jangan lupa bawa sedikit makanan atau snek untuk membekalkan tenaga, terutamanya jika anda tidak sempat sarapan pagi.
  • Pakaian sukan yang selesa dan cepat kering jika anda senang berpeluh.
  • Kasut yang sesuai.
  • Tabir suria adalah sesuatu yang wajib di negara yang beriklim khatulistiwa. Walaupun hampir keseluruhan trek diredupkan dengan pokok-pokok, puncaknya amat terdedah kepada pancaran matahari yang terik.
  • Cermin mata gelap atau topi untuk melindungi mata daripada cahaya matahari.
Kaca mata gelap sangat membantu ketika mengambil gambar!
  • Teropong jika ingin menyaksikan penghijrahan burung.
  • Kamera untuk mengabadikan keindahan panorama di puncak.
  • Kit asas pertolongan cemas. Walaupun pendakian Bukit Batu Putih ini mengambil masa yang begitu singkat, kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Akhir Kata

Jenis hiking kegemaran saya adalah yang perjalanannya mudah dan pemandangannya indah. Dan Bukit Batu Putih menepati kedua-dua ciri ini. Dengan pendakian yang memakan masa cuma 40 minit, ganjaran yang menanti di puncaknya memang betul-betul berbaloi.

Posted in BM

Related Posts

1 Comment

  1. Pingback:Hiking Bukit Batu Putih in Tanjung Tuan – Ummi Around Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *