Pengalaman Mendaki Gunung Irau (Mossy Forest) Cameron Highlands

Bahasa MelayuEnglish

Pengalaman dan Tips Mendaki Mini Irau Mossy Forest Cameron Highland

Cameron Highlands adalah sebuah destinasi yang tidak asing lagi bagi pelancong dari dalam dan luar negara. Cuacanya yang dingin dan persekitarannya yang menghijau menjadikannya salah sebuah lokasi popular bagi warga kota yang ingin melarikan diri daripada bahang hutan konkrit.

Walaupun kebanyakan pelancong yang datang cuma ingin bersantai di ladang teh dan memetik strawberi, ada juga yang memilih untuk melakukan aktiviti yang lebih lasak, seperti mendaki gunung.

Berada pada ketinggian 2,110 meter dari aras laut, Gunung Irau ialah gunung tertinggi di Cameron Highlands. Namun, apa yang lebih menarik ialah, trek pendakian ini akan membawa anda melewati Mossy Forest (hutan lumut). Ya, seperti namanya, hutan ini memang dilitupi dengan lumut, dari tanah sehinggalah ke ranting-ranting pokok.

Dengan cuaca sejuk dan berkabus, pemandangan di hutan ini akan membuatkan anda berasa seolah-olah berada di set penggambaran Lord of the Rings. Tidak hairanlah Mossy Forest Cameron Highlands ini pernah tersenarai antara lima hutan paling ‘Instagrammable’ di dunia!

Hutan Lumut, Gunung Irau. Foto: Visions of Domino / Wikimedia Commons

This post may contain affiliate links, which means I may earn a commission at no extra cost to you. As an Amazon Associate, I earn from qualifying purchases. For more details, please read my Privacy Policy.

Waktu terbaik untuk mendaki Gunung Irau

Mossy Forest ditutup kepada orang awam sepanjang musim tengkujuh (November hingga Januari). Sebaiknya, elakkan berkunjung ke Cameron Highlands pada waktu ini kerana hujan lebat sering mengakibatkan kejadian tanah runtuh di sepanjang jalan menuju ke sana.

Bulan-bulan yang memiliki kebarangkalian hujan paling rendah ialah Februari, Jun dan Julai.

Waktu terbaik untuk memulakan pendakian adalah pada waktu pagi kerana pada ketika itu, Mossy Forest masih diselimuti kabus, lantas menambahkan lagi aura misteri yang cukup indah untuk tujuan fotografi. Jangan lupa bawa pakaian tebal kerana cuaca agak sejuk pada waktu tersebut.

Cara untuk ke Gunung Irau

Perjalanan ke Cameron Highlands dari Kuala Lumpur mengambil masa lebih kurang 4 jam, bergantung kepada keadaan trafik.

Jika tidak mempunyai kenderaan sendiri, anda juga boleh menaiki bas dari beberapa bandar utama seperti Kuala Lumpur, Ipoh atau Pulau Pinang.

Namun, untuk bergerak ke lokasi permulaan trek agak sukar tanpa kenderaan sendiri. Anda boleh cuba meminta bantuan pihak hotel untuk membuat tempahan teksi atau kereta sewa.

Bagi yang memandu sendiri, Google “Mossy Forest (Entrance Point)”. Tetapi awas, jalan untuk menuju ke sana agak sempit, berbukit dan berlopak. Kenderaan pacuan empat roda lebih sesuai untuk perjalanan ini.

Atau jika ingin mudah lagi, cari saja mana-mana trip yang dianjurkan oleh agensi pelancongan atau kumpulan-kumpulan pendaki di media sosial.

Pada kali ini, saya menyertai trip kelolaan Thrill Adventures (+60173570285).

Bersama pendaki-pendaki lain.

Cara menempah trip ke Gunung Irau

Jika anda menginap di hotel atau hostel, anda boleh bertanya kepada pihak penginapan sekiranya mereka ada menganjurkan trip ke Gunung Irau. Sekalipun tiada, mereka mungkin masih boleh membantu anda menghubungi agensi pelancongan yang ada mengendalikan trip sedemikian.

Bagi yang ingin menempah lebih awal, bolehlah mencari sendiri hebahan mengenai sebarang trip ke Gunung Irau melalui laman carian atau media sosial. 

Satu lagi cara adalah dengan menggunakan aplikasi seperti Klook dan Viator. Sesetengah pakej yang ditawarkan turut menyertakan lawatan ke beberapa tempat lain seperti Ladang Teh BOH, Taman Rama-rama dan ladang strawberi.

Klook.com

Adakah permit diwajibkan?

Ya. Jika ingin mendaki melepasi laluan kayu (boardwalk) Mossy Forest menuju Mini Irau atau Gunung Irau, and perlu mendapatkan permit pendakian daripada Jabatan Perhutanan.

Sistem permit ini diperkenalkan bagi mengawal jumlah pengunjung dan mengurangkan kerosakan terhadap ekosistem hutan yang sensitif. Kehadiran terlalu ramai pendaki boleh merosakkan lumut, tumbuh-tumbuhan dan struktur tanah di kawasan tersebut.

Selain itu, permit juga berfungsi untuk merekodkan pergerakan pendaki yang keluar masuk bagi memastikan semua orang kembali dengan selamat.

Anda boleh menghubungi Jabatan Perhutanan secara langsung untuk memohon. Namun, proses permohonan permit ini boleh dikatakan agak rumit. Tambahan pula, permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh pendakian.

Sila rujuk laman web rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk maklumat lanjut.

Pilihan yang lebih mudah adalah dengan mengambil pakej pendakian melalui syarikat berlesen yang boleh menguruskan permit tersebut bagi pihak anda.

Mendaki Gunung Irau tanpa pemandu pelancong

Mendaki Gunung Irau tanpa pemandu pelancong adalah dibenarkan, asalkan anda mempunyai permit yang sah.

Tetapi pastikan anda sentiasa berhati-hati. Persekitaran Mossy Forest yang suram dan berkabus itu telah mengakibatkan ramai pendaki yang tersesat. Bukan itu sahaja, akar-akar pokok yang berselirat dan tersembunyi di bawah lapisan lumut itu juga berisiko menyebabkan kecederaan jika kurang waspada.

Jadi, jika anda bercadang untuk mendaki Gunung Irau tanpa pemandu pelancong, pastikan ada ahli kumpulan yang benar-benar berpengalaman dan mempunyai kemahiran asas pertolongan cemas.

Periksa keadaan cuaca sebelum pergi, serta bawa bekalan makanan dan air yang mencukupi (sekurang-kurangnya 2 liter seorang), di samping kelengkapan-kelengkapan lain yang diperlukan sekiranya berlaku kecemasan.

Pastikan juga anda seorang pemandu yang cekap jika ingin memandu sendiri ke lokasi.

Pengalaman mendaki Gunung Irau

Saya tiba di Cameron Highlands sehari sebelum pendakian dan menginap di sebuah hotel bajet di Tanah Rata. Tempat berkumpul yang telah ditetapkan untuk keesokan harinya adalah di Cameron Square, tidak jauh dari tempat penginapan saya.

Kami berkumpul pada pukul 7 pagi, dan seperti biasa, saya seorang saja yang datang bersendirian. Yang lain semuanya berpasangan dan berkumpulan.

Setelah semua peserta tiba, air minuman dan bekalan makanan tengah hari diagihkan. Kemudian, dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda, kami dibawa menuju ke permulaan trek. Perjalanan tersebut melalui kawasan berbukit yang dipenuhi dengan ladang teh.

Lebih kurang jam 8 pagi, kami tiba di lokasi dan melakukan sedikit senaman ringan.

Sesi senaman regangan secara berkumpulan.

Terdapat tiga puncak sepanjang trek ini, iaitu Gunung Brinchang, Mini Irau dan Gunung Irau. Pendakian kami pada hari itu adalah dari puncak Gunung Brinchang hingga ke Mini Irau.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki di Mossy Forest, saya terus dapat merasakan betapa uniknya tempat tersebut. Seumur hidup saya, belum pernah lagi melihat hutan yang sebegitu rupa. Dek kerana lapisan lumut yang begitu tebal, ditambah dengan fungus, lumpur dan daun-daun kering, lantai hutan itu terasa lembut seperti tilam.

Bukan lantai hutan sahaja yang diselaputi lumut, malah pokok-pokok juga tidak terkecuali, dari bahagian akar sehinggalah ke dahan-dahan. Keadaan sekitar yang berkabus menambahkan lagi suasana hutan ajaib seperti dalam cerita-cerita dongeng orang putih.

Di sesetengah kawasan, tanah yang lembut berlumut itu digantikan dengan lopak-lopak air dan selut. Pastikan anda mengikat tali kasut pada kaki supaya kasut tidak hilang terbenam di dalam lumpur. Setiap langkah perlu diambil dengan penuh hati-hati kerana akar-akar pokok bersimpang siur di sana sini.

Di sepanjang perjalanan, anda dapat menjamu mata dengan pelbagai jenis flora dan fauna, antaranya paku pakis, orkid, periuk kera dan jika anda bernasib baik, bunga Rafflesia.

Malangnya, saya tidak sempat memandang ke kiri dan kanan kerana terlalu sibuk mengatur langkah agar tidak tersadung.

Mempelajari tentang pokok-pokok di Mossy Forest.

Semakin jauh ke dalam hutan, laluan menjadi kian mencabar dengan kehadiran lebih banyak lumpur, akar pokok dan permukaan curam. Di beberapa bahagian, ada disediakan tangga dan tali kerana terlalu curam.

Walaupun pada awalnya kami merasakan akar-akar pokok yang berselirat di situ menyukarkan pergerakan, lama kelamaan kami mula menganggapnya sebagai kawan kerana akar-akar pokok itulah yang menjadi tempat berpijak dan berpaut terutamanya di kawasan berlumpur.

Saya dapat menarik nafas lega kerana semua ahli kumpulan ekspedisi kami pada hari itu bukanlah jenis yang sentiasa ingin berlumba-lumba untuk sampai ke puncak. Kami bergerak dengan kelajuan yang selesa dan banyak berhenti untuk mengambil gambar, minum air dan sebagainya.

Selepas kira-kira dua jam setengah perjalanan, kami tiba di destinasi, iaitu Mini Irau (juga dikenali sebagai ‘puncak palsu Irau’ atau Irau False Peak). Kawasan ini agak lapang dan berada pada ketinggian 2,030 meter dari aras laut.

Di sebelah kiri terdapat laluan untuk ke puncak Gunung Irau yang sebenar. Perjalanan dari Mini Irau untuk ke puncak boleh memakan masa lebih kurang sejam.

Malangnya pada ketika itu, trek ke puncak Gunung Irau ditutup kerana terdapat kejadian tanah runtuh. Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang hanya membenarkan para pengunjung untuk mendaki hingga ke Mini Irau sahaja.

Kami berhenti rehat di situ untuk makan tengah hari.

Cuaca berkabus tebal.

Pada pukul 1.30 tengah hari, kami memulakan perjalanan turun. Walaupun menuruni bukit tidak begitu memenatkan, cabarannya tetap ada. Mujurlah cuaca sepanjang hari itu amat baik, tidak hujan dan juga tidak panas.

Sebelum pulang, jangan lupa singgah di menara tinjau berketinggian 50 meter di penghujung trek.

Jika hari cerah dan tidak berkabus, anda boleh menikmati pemandangan ladang teh dan bukit bukau.

Pada pukul 3.30 petang, kami tiba di permulaan trek di mana kenderaan kami sudah menanti.

Dalam perjalanan pulang ke Cameron Square, kami sempat berhenti untuk mengambil gambar di tepi ladang teh.

Ladang teh Cameron Highlands

Tahap kesukaran Gunung Irau

Gunung Irau boleh dikatakan sederhana sukar kerana permukaan tanah yang berlumpur, berbatu dan curam di sesetengah tempat.

Selain itu, akar-akar pokok yang basah dan permukaan tanah yang licin juga boleh menyebabkan risiko tergelincir. Oleh itu, pendaki perlu berhati-hati sepanjang masa.

Walau bagaimanapun, trek pendakian Gunung Irau ini tidaklah terlalu teknikal, dan masih sesuai bagi anda yang tidak mempunyai sebarang pengalaman mendaki, asalkan anda berada dalam keadaan kesihatan yang memuaskan. Suhu yang dingin di situ juga membuatkan pendakian kurang memenatkan.

Tempoh keseluruhan pendakian biasanya mengambil masa sekitar 6 hingga 7 jam termasuk rehat. Pastikan anda mula pada awal pagi untuk mengelakkan terkandas di dalam hutan sewaktu hari sudah gelap.

Pakaian yang sesuai untuk mendaki Gunung Irau

Suhu purata di Gunung Irau berada di sekitar 10 hingga 25 darjah Celsius, bergantung pada cuaca dan waktu. Ada kalanya, suhu boleh turun menjadi kurang daripada 10 darjah Celsius. Oleh itu, pastikan anda memakai baju yang tahan sejuk dan selesa untuk mendaki.

Namun, apa yang paling penting untuk mendaki Gunung Irau ialah kasut hiking. Pilih kasut yang mempunyai tapak yang sesuai kerana keadaan trek yang berlumut dan berlumpur boleh menyebabkan pendaki senang tergelincir.

Barang-barang yang perlu dibawa

  • Jika anda mengikuti pakej, biasanya makanan dan minuman ada disediakan. Namun, anda juga boleh membawa sendiri snek berkalori tinggi seperti coklat dan bar bijirin untuk membekalkan tenaga sebelum, semasa dan selepas mendaki. Bawa juga air minuman yang mencukupi.
  • Tongkat gunung (hiking stick)
  • Telefon dan kamera
  • Jika mendaki bersendirian (tanpa pemandu pelancong), bawa kit pertolongan cemas sendiri.
  • Selimut kecemasan, wisel dan lampu kepala sebagai persediaan untuk kecemasan.
  • Tabir suria. Walaupun cuaca sejuk, masih terdapat sinar UV yang membahayakan kulit, terutama di kawasan beraltitud tinggi.
  • Beg galas kecil untuk membawa kesemua di atas dan beg kalis air untuk melindungi barang-barang berharga anda sekiranya hari hujan.

* Artikel asal telah diterbitkan di Ummi Goes Where? pada tahun 2020.

Baca juga:

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *