Sekinchan ialah sebuah pekan kecil yang terletak di Sabak Bernam, Selangor. Biarpun saiznya kecil, pekan ini adalah salah sebuah pengeluar beras terbesar di Malaysia. Malah, ia memegang rekod pengeluaran beras tertinggi bagi setiap ekar.
Maka tidak hairanlah jika hampir setiap kaki persegi di Sekinchan ini dilitupi dengan sawah hijau yang apabila cukup waktunya, akan menjadi kuning keemasan.
Selain sawah, di sini juga terdapat kilang-kilang beras, yang sebahagiannya menerima kedatangan pengunjung untuk melihat sendiri proses penghasilan beras dari awal hingga ke akhir.
Sebagai orang Asia, agak memalukan jika kita tidak tahu serba sedikit tentang penghasilan beras. Namun, itulah realitinya bagi saya yang memang cetek pengetahuan tentang makanan ruji kita ini. Seumur hidup saya, mungkin cuma pernah sekali sahaja melihat sawah padi secara dekat. Itu pun hanya sepintas lalu.
Jadi, semasa percutian saya di Sekinchan bersama rakan-rakan, kami mengambil peluang untuk melawat Galeri Padi Sekinchan.
Galeri Padi Sekinchan
Dimiliki oleh PLS Marketing (M) Sdn Bhd (atau Kilang Beras Rakyat Sekinchan Sdn Bhd), Galeri Padi ini juga dikenali dengan beberapa nama lain, iaitu Muzium Padi, Muzium Beras, Gudang Beras, Kilang Padi, dan sebagainya. Ini kerana ia memang sebuah kilang, muzium, galeri, dan kedai — 4 dalam 1!
Pada awalnya, PLS Marketing bermula sebagai pengedar beras, dan kemudiannya berkembang menjadi pembekal beras secara pukal, pembekal benih padi, serta pengedar baja dan racun serangga.
Pada penghujung tahun 2013, Galeri Padi dibuka secara rasmi kepada orang ramai untuk datang menyaksikan sendiri setiap langkah penghasilan beras, daripada penyemaian anak pokok sehinggalah menjadi beras yang dijual di pasaran.
Cara Untuk ke Galeri Padi Sekinchan
Galeri Padi Sekinchan terletak di Jalan Tali Air 5. Bangunannya yang besar dan dikelilingi sawah padi memang senang untuk dilihat walau dari jauh lagi.
Lokasinya berhampiran dengan tempat penginapan kami iaitu Padi Box. Jika anda juga menginap di sini, anda boleh menyewa basikal untuk ke Galeri Padi.
Untuk baca lebih lanjut tentang cara pergi ke Sekinchan dari Kuala Lumpur, sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam, boleh rujuk pada artikel saya di sini.
Harga Tiket & Waktu Operasi
- Bayaran Masuk: RM5 seorang (kanak-kanak bawah ketinggian 95cm boleh masuk secara percuma)
- Waktu Operasi: 9 pagi – 5.30 petang setiap hari (kecuali waktu rehat iaitu pada pukul 12.30 – 1.45)
Pengalaman Melawat Galeri Padi Sekinchan
Sebaik sahaja membayar tiket masuk, kami diberikan sepaket beras setiap seorang sebagai cenderahati. Wah, belum apa-apa sudah dapat hadiah!
Kemudian, kami dibawa naik ke galeri padi yang terletak di tingkat atas. Agenda pertama ialah menonton video dokumentari yang menerangkan tentang sawah padi di Sekinchan, serta cara-cara penanaman padi dari zaman dahulu sehingga sekarang.
Rupa-rupanya, teknologi pertanian pada zaman sekarang sudah begitu moden sekali. Dengan menggunakan teknologi baharu, sebuah mesin boleh menyemai anak padi pada tanah berkeluasan 1.2 hektar dalam masa 2 jam setengah sahaja, berbanding pada zaman dahulu yang boleh memakan masa sehingga 2 hari dan memerlukan 8 orang pekerja!
Kalau anda ingin tahu bagaimana caranya, kenalah datang sendiri ke Galeri Padi. Memang sangat mengagumkan.
Selepas dituai, padi akan dibersihkan, dibuang kulit, dan digilap. Kemudian, ia akan melalui proses penapisan untuk mengeluarkan sebarang bendasing seperti pasir, batu, atau butiran beras yang sudah hancur atau berubah warna.
Proses penapisan dan penggredan ini adalah bertujuan untuk memastikan hanya beras yang paling berkualiti sahaja yang akan dipasarkan. Beras yang tidak menepati piawaian ini akan dijual sebagai makanan ternakan.
Persembahan video tadi kemudiannya disusuli dengan sedikit penerangan oleh pekerja galeri. Di sini anda boleh bertanya apa-apa soalan yang terlintas di fikiran anda mengenai padi dan beras.
Kami juga mempelajari tentang jenis-jenis beras yang dihasilkan oleh syarikat mereka. Antaranya ialah beras putih, beras putih mutiara, beras wangi, beras perang wangi, dan beras Basmathi.
PLS Marketing adalah satu-satunya syarikat yang mengeluarkan ‘beras mutiara’, iaitu sejenis beras pendek seakan-akan beras pulut, yang boleh digunakan untuk membuat sushi atau puding beras.
Bagi anda yang menginginkan sesuatu yang lebih berkhasiat tetapi sedap, saya syorkan beras perang wangi. Aroma jasmin membuatkan beras ini jauh lebih menyelerakan daripada beras perang biasa.
Selepas itu, kami dibawa melihat mesin-mesin pemprosesan padi. Melalui tingkap yang ada di koridor, kami juga dapat melihat kilang dan gudang penyimpanan beras di tingkat bawah.
Bahagian yang seterusnya ialah muzium yang mempamerkan barang-barang antik dan alat-alat penanaman padi secara tradisional. Anda boleh melihat sendiri betapa majunya teknologi padi di Malaysia sekarang jika dibandingkan dengan berpuluh tahun dahulu.
Akhir sekali, seperti juga di mana-mana galeri atau muzium yang lain, sudah semestinya akan disudahi dengan kedai cenderamata. Biasanya saya kurang gemar membeli cenderamata, tapi kali ini saya buat pengecualian kerana barang-barang yang dijual di sini kebanyakannya boleh dimakan.
Selain beras, kilang ini juga menghasilkan produk lain yang berasaskan beras seperti sabun (ya, sabun!), kerepek, mi, minyak, dan manisan.
Sebahagian daripada produk yang dijual telah dipek vakum untuk memudahkan anda jika ingin mengepos atau membawanya dalam perjalanan jauh.
Sambil membeli-belah, jangan lupa untuk mencuba hidangan istimewa yang ada di sana iaitu cendol beras perang. Mungkin inilah satu-satunya tempat di dunia yang menjual cendol berisi beras perang!
Fakta Menarik Tentang Sawah Padi Sekinchan
- Dalam bahasa Cina, Sekinchan bermaksud ‘kampung yang subur‘.
- Kualiti tanah dan cuaca di Sekinchan adalah amat sesuai untuk penanaman padi, pokok kelapa sawit, dan pokok buah-buahan.
- Jumlah keluasan sawah padi dan kebun buah-buahan di Sekinchan telah mencecah sehingga 4,300 ekar.
- Sawah padi di Sekinchan adalah antara penyumbang padi terbesar di Malaysia.
- Jika anda makan nasi 2 kali sehari dengan saiz hidangan sebanyak 70g, dalam masa 19 tahun, anda telah memakan sebanyak satu tan beras. Jika anda makan nasi 3 kali sehari, ia cuma mengambil masa 13 tahun.
- Pada zaman dahulu, ‘orang-orangan’ biasa digunakan di sawah untuk menghalau burung. Tetapi pada zaman sekarang, ia tidak digunakan lagi kerana kebanyakan burung sudah menjadi lebih bijak dan tidak mudah tertipu!
Akhir Kata
Dengan kos bayaran masuk yang begitu rendah, Galeri Padi ini memang sangat berbaloi untuk dilawati. Terdapat banyak maklumat berguna yang boleh dipelajari di sini terutama untuk penggemar nasi.
Selain itu, mempelajari tentang makanan ruji kita dan betapa rumitnya proses untuk menghasilkan sepinggan nasi juga diharapkan dapat mengajar kita untuk lebih mensyukuri rezeki.
Jadi, jika anda melawat Sekinchan pada masa akan datang, di samping menikmati pemandangan indah bendang, jangan lupa untuk singgah di Galeri Padi.
Lot No 9990, Jalan Tali Air 5,
Ban 2, 45400 Sekinchan,
Selangor, Malaysia
Tel: +6 016-205 6558 (Umum) / +6 016-215 7028 (Pelancongan)
Pingback:Paddy Gallery, Sekinchan – Learn How Rice is Produced in Malaysia – Ummi Around Malaysia