Menu Close

Bahasa MelayuEnglish

Pengalaman dan Tips Mendaki Mini Irau Mossy Forest Cameron Highland

Cameron Highlands adalah sebuah destinasi yang tidak asing lagi bagi pelancong dari dalam dan luar negara. Cuacanya yang dingin dan persekitarannya yang menghijau menjadikannya salah sebuah lokasi popular bagi warga kota yang ingin melarikan diri daripada bahang hutan konkrit.

Walaupun kebanyakan pelancong yang melawat Cameron Highlands cuma ingin bersantai di ladang teh dan memetik strawberi, ada juga yang memilih untuk melakukan aktiviti yang lebih lasak, seperti mendaki gunung.

Berada pada ketinggian 2,110 meter dari aras laut, Gunung Irau ialah gunung tertinggi di Cameron Highlands dan ke-15 tertinggi di Malaysia. Namun, apa yang lebih menarik ialah, trek pendakian ini akan membawa anda melewati Mossy Forest (hutan lumut). Ya, seperti mana namanya, hutan ini memang dilitupi dengan lumut, dari tanah sehinggalah ke ranting-ranting pokok.

Dengan cuaca sejuk dan berkabus, pemandangan di hutan ini akan membuatkan anda berasa seolah-olah berada di set penggambaran Lord of the Rings. Tidak hairanlah Mossy Forest Cameron Highlands ini tersenarai antara lima hutan paling ‘instagrammable’ di dunia!

Hutan Lumut, Gunung Irau. Foto: Visions of Domino / Wikimedia Commons

Waktu Terbaik Untuk Mendaki Gunung Irau

Mossy Forest ditutup kepada orang awam sepanjang musim tengkujuh (November hingga Januari). Sebaiknya, elakkan berkunjung ke Cameron Highlands pada waktu ini kerana hujan lebat sering mengakibatkan kejadian tanah runtuh di sepanjang jalan menuju ke sana. Bulan-bulan yang memiliki kebarangkalian hujan paling rendah ialah Februari, Jun dan Julai.

Waktu terbaik untuk mendaki Gunung Irau adalah pada waktu pagi kerana pada ketika itu, Mossy Forest masih diselimuti kabus, lantas menambahkan lagi aura misteri yang cukup indah untuk tujuan fotografi. Jangan lupa bawa pakaian tebal kerana cuaca agak sejuk pada waktu tersebut.

Cara Untuk ke Gunung Irau

Foto: Ardeka Balian Aga / Wikimedia Commons

Dari Kuala Lumpur, perjalanan ke Cameron Highlands mengambil masa lebih kurang 4 jam. 

Jika tidak mempunyai kenderaan sendiri, anda juga boleh menaiki bas dari Kuala Lumpur, Ipoh atau Pulau Pinang. Namun, untuk bergerak dari Tanah Rata ke Gunung Irau agak sukar tanpa kenderaan sendiri. Anda boleh cuba meminta bantuan pihak hotel untuk membuat tempahan teksi atau kereta sewa.

Bagi yang memandu sendiri, Google “Mossy Forest (Entrance Point)”. Tetapi awas, jalan untuk menuju ke sana agak sempit dan berlopak. Kenderaan pacuan empat roda lebih sesuai untuk perjalanan ini.

Atau jika ingin mudah lagi, cari saja mana-mana trip yang dianjurkan oleh agensi pelancongan atau kumpulan-kumpulan pendaki di media sosial.

Pada kali ini, saya menyertai trip kelolaan Thrill Adventures (+60173570285).

Bersama pendaki-pendaki lain.

Cara Menempah Trip ke Gunung Irau

Jika anda menginap di hotel atau hostel, anda boleh bertanya kepada pihak hotel sekiranya mereka ada menganjurkan trip ke Gunung Irau. Sekalipun tiada, mereka mungkin masih boleh membantu anda menghubungi agensi pelancongan yang ada mengendalikan trip sedemikian.

Bagi yang ingin menempah lebih awal, bolehlah mencari sendiri hebahan mengenai sebarang trip ke Gunung Irau melalui laman carian atau media sosial. 

Satu lagi cara adalah dengan menggunakan aplikasi seperti Klook dan Viator. Sesetengah pakej yang ditawarkan turut menyertakan lawatan ke beberapa tempat lain seperti Ladang Teh BOH, Taman Rama-rama dan ladang strawberi.

Untuk pendaftaran Klook kali pertama, sila gunakan kod promo FFKSC untuk mendapatkan baucar bernilai RM15 (tertakluk terma & syarat).

Kos Pendakian Gunung Irau

Permit

Sejak beberapa tahun yang lepas, populariti Mossy Forest meningkat dengan agak mendadak, dan malangnya kemasukan pengunjung yang tidak terkawal telah mengakibatkan kerosakan ekosistem semulajadi di sana.

Oleh yang demikian, pihak berkuasa tempatan telah membuat keputusan untuk mengehadkan jumlah pengunjung yang masuk ke hutan tersebut dalam satu-satu masa.  Bermula 1 Mac 2019, kesemua pelawat wajib mendapatkan permit terlebih dahulu daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Hanya 100 permit sahaja yang dikeluarkan setiap hari.

Caj yang dikenakan adalah seperti berikut:

WARGANEGARA

  • Dewasa: RM 10
  • Kanak-kanak (6 – 12 tahun): RM 5
  • Warga Emas (60 tahun ke atas): RM 5
  • OKU: Percuma

BUKAN WARGANEGARA

  • Dewasa: RM 30
  • Kanak-kanak: RM 15
  • Warga Emas: RM 30
  • OKU: Percuma

Namun, proses permohonan permit ini boleh dikatakan agak rumit.

Pertama, permohonan perlu dibuat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh pendakian. Setelah permohonan diluluskan, pemohon perlu membuat pembayaran melalui kiriman wang pos atau bank draf dan diserahkan kepada Pegawai Hutan Daerah pada hari dan waktu bekerja (pembayaran secara atas talian tidak diterima).

Kemudian, pemohon juga perlu membawa dua salinan surat kelulusan permohonan dan membuat bayaran masuk semasa di lokasi. Sila rujuk laman web rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk maklumat lanjut.

Saya kurang pasti sama ada terdapat cara yang lebih mudah. Jika anda pernah membuat permohonan permit ini, sila kongsikan pengalaman anda dalam ruangan komen di bawah.

Bolehkah kita mendaki Gunung Irau tanpa permit?

Melalui pembacaan saya sebelum ini, memang ada pelancong yang berjaya memasuki Mossy Forest tanpa permit. Bahkan ada yang berkongsi tip bagaimana untuk mengelak daripada membayar sebarang caj untuk masuk.

Walaupun saya secara peribadi memang kurang gemar dengan sistem birokrasi yang menyusahkan orang awam, saya tetap tidak menyarankan sesiapa untuk melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Kita bukan sahaja boleh dikenakan tindakan undang-undang jika sabit kesalahan, malah adalah agak biadab jika kita sebagai tetamu dengan sesuka hati melanggar peraturan tuan rumah.

Pakej Pendakian

Untuk mengelakkan segala kesulitan berhubung permit, pengangkutan dan sebagainya, anda boleh menempah saja pakej pendakian anjuran mana-mana agensi pelancongan. Pakej yang ditawarkan oleh Thrill Adventures pada ketika itu berharga RM 140 seorang.

Harga ini adalah termasuk:

  • Pemandu arah (mountain guide)
  • Permit
  • Pengangkutan pergi balik antara Brinchang dan permulaan trek.
  • Makan tengah hari
  • Sweeper
  • Kit pertolongan cemas
  • Set komunikasi radio dua hala

Mendaki Gunung Irau Tanpa Pemandu Pelancong

Mendaki Gunung Irau tanpa pemandu pelancong tidak menjadi suatu masalah, asalkan anda mempunyai permit yang sah.

Tetapi pastikan anda sentiasa berhati-hati. Persekitaran Mossy Forest yang suram dan berkabus itu telah mengakibatkan ramai pendaki yang tersesat. Bukan itu sahaja, akar-akar pokok yang berselirat dan tersembunyi di bawah lapisan lumut itu juga berisiko menyebabkan kecederaan jika kurang waspada.

Jadi, jika anda bercadang untuk mendaki Gunung Irau tanpa pemandu pelancong, pastikan ada salah seorang daripada ahli kumpulan anda yang benar-benar berpengalaman dan mempunyai kemahiran asas pertolongan cemas.

Periksa keadaan cuaca sebelum pergi, serta bawa bekalan makanan dan air yang mencukupi (sekurang-kurangnya 2 liter seorang), di samping kelengkapan-kelengkapan lain yang diperlukan sekiranya berlaku kecemasan.

Pastikan juga anda seorang pemandu yang cekap jika ingin memandu sendiri ke lokasi.

Pengalaman Mendaki Gunung Irau

Saya tiba di Cameron Highlands sehari sebelum pendakian dan menginap di sebuah hotel bajet di Tanah Rata. Tempat berkumpul yang telah ditetapkan untuk keesokan harinya adalah di Cameron Square, tidak jauh dari tempat penginapan saya.

Kami berkumpul pada pukul 7 pagi, dan seperti biasa, saya seorang saja yang datang bersendirian. Yang lain semuanya berpasangan dan berkumpulan.

Setelah semua peserta tiba, kami diagihkan dengan air minuman dan bekalan makanan tengah hari. Kemudian, dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda, kami dibawa menuju ke permulaan trek. Perjalanan tersebut melalui kawasan berbukit yang dipenuhi dengan ladang teh.

Lebih kurang jam 8 pagi, kami tiba di lokasi dan melakukan sedikit senaman ringan.

Sesi senaman regangan secara berkumpulan.

Terdapat tiga puncak sepanjang trek ini, iaitu Gunung Brinchang, Mini Irau dan Gunung Irau. Pendakian kami pada hari itu adalah dari puncak Gunung Brinchang hingga ke Mini Irau.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki di Mossy Forest, saya terus dapat merasakan betapa uniknya tempat tersebut. Seumur hidup saya, belum pernah lagi melihat hutan yang , sebegitu rupa. Dek kerana lapisan lumut yang begitu tebal, diikuti dengan fungus, lumpur dan daun-daun kering, lantai hutan itu terasa seolah-olah diperbuat daripada span.

Bukan lantai sahaja yang diselaputi lumut, malah pokok-pokok juga tidak terkecuali, dari bahagian akar sehinggalah ke dahan-dahan. Ditambah pula dengan keadaan sekitar yang berkabus, membuatkan Mossy Forest kelihatan tidak ubah seperti hutan ajaib dalam cerita-cerita dongeng orang putih.

Di sesetengah kawasan, tanah yang lembut berlumut itu digantikan dengan lopak-lopak air dan selut. Pastikan anda mengikat tali kasut pada kaki supaya kasut tidak hilang terbenam di dalam lumpur. Setiap langkah perlu diambil dengan penuh hati-hati kerana akar-akar pokok bersimpang siur di sana sini.

Di sepanjang perjalanan, anda dapat menjamu mata dengan pelbagai jenis flora dan fauna, antaranya paku pakis, orkid, periuk kera dan jika anda bernasib baik, bunga Rafflesia. Malangnya, saya tak sempat memandang ke kiri dan kanan kerana terlalu sibuk mengatur langkah agar tidak tersadung.

Mempelajari tentang pokok-pokok di Mossy Forest.

Semakin jauh kami masuk ke dalam hutan, trek menjadi kian mencabar dengan kehadiran lebih banyak lumpur, akar pokok dan permukaan curam. Di beberapa tempat, ada disediakan tangga dan tali kerana terlalu curam.

Walaupun pada awalnya kami merasakan akar-akar pokok yang berselirat di situ menyukarkan pergerakan, lama kelamaan kami mula menganggapnya sebagai kawan kerana akar-akar pokok itulah yang menjadi tempat berpijak dan berpaut terutamanya di kawasan berlumpur.

Saya dapat menarik nafas lega kerana semua ahli kumpulan ekspedisi kami pada hari itu bukanlah jenis yang sentiasa ingin berlumba-lumba untuk sampai ke puncak. Kami bergerak dengan kelajuan yang selesa dan banyak berhenti untuk mengambil gambar, minum air dan sebagainya.

Selepas kira-kira dua jam setengah perjalanan, kami tiba di destinasi, iaitu Mini Irau (juga dikenali sebagai ‘puncak palsu Irau’ atau Irau False Peak). Kawasan ini agak lapang dan berada pada ketinggian 2,030 meter dari aras laut.

Di sebelah kiri terdapat laluan untuk ke puncak Gunung Irau yang sebenar. Perjalanan dari Mini Irau untuk ke puncak boleh memakan masa lebih kurang sejam. Malangnya pada ketika itu, trek ke puncak Gunung Irau ditutup kerana terdapat kejadian tanah runtuh. Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang hanya membenarkan para pengunjung untuk mendaki hingga ke Mini Irau sahaja.

Kami berhenti rehat di situ untuk makan tengah hari.

Cuaca berkabus tebal.

Pada pukul 1.30 tengah hari, kami memulakan perjalanan turun. Walaupun menuruni bukit tidak begitu memenatkan, cabarannya tetap ada. Mujurlah cuaca sepanjang hari itu amat baik, tidak hujan dan juga tidak panas.

Sebelum pulang, jangan lupa singgah di menara tinjau berketinggian 50 meter di penghujung trek.

Jika hari cerah dan tidak berkabus, anda boleh menikmati pemandangan ladang teh dan bukit bukau.

Pada pukul 3.30 petang, kami tiba di permulaan trek di mana kenderaan kami sudah menanti. Dalam perjalanan pulang ke Cameron Square, kami sempat berhenti untuk mengambil gambar di tepi ladang teh.

 Ladang teh Cameron Highlands

Tahap Kesukaran Gunung Irau

Gunung Irau boleh dikatakan sederhana sukar kerana permukaan tanah yang berlumpur, berbatu dan curam di sesetengah tempat.

Selain itu, akar-akar pokok yang sering basah dan licin juga boleh mengakibatkan pendaki terjatuh jika tidak berjaga-jaga. Telah terdapat beberapa kes di mana pasukan penyelamat terpaksa dipanggil untuk membantu pendaki yang tercedera.

Walau bagaimanapun, trek pendakian Gunung Irau ini tidaklah terlalu teknikal, dan masih sesuai bagi anda yang tidak mempunyai sebarang pengalaman mendaki, asalkan anda berada dalam keadaan kesihatan yang memuaskan. Suhu yang dingin di situ juga membuatkan pendakian kurang memenatkan.

Perjalanan dari permulaan trek hingga ke Mini Irau mengambil masa kira-kira 2 jam, dan ditambah dengan sejam lagi jika anda ingin meneruskan perjalanan ke puncak. Jadi, jumlah keseluruhan masa yang diambil untuk ekspedisi ini adalah lebih kurang 7 jam termasuk waktu rehat. Pastikan anda mula pada awal pagi untuk mengelakkan terkandas di dalam hutan sewaktu hari sudah gelap.

Pakaian Yang Sesuai Untuk Mendaki Gunung Irau

Suhu purata di Gunung Irau berada di sekitar 10 hingga 25 darjah Celsius, bergantung pada cuaca dan waktu. Ada kalanya, suhu boleh turun menjadi kurang daripada 10 darjah Celsius. Oleh itu, pastikan anda memakai baju yang tahan sejuk dan selesa untuk mendaki.

Namun, apa yang paling penting untuk mendaki Gunung Irau ialah kasut hiking. Pilih kasut yang mempunyai tapak yang sesuai kerana keadaan trek yang berlumut dan berlumpur boleh menyebabkan pendaki senang tergelincir.

Barang-barang Yang Perlu Dibawa

  • Jika anda mengikuti pakej, biasanya makanan dan minuman ada disediakan. Namun, ada baiknya jika anda turut membawa sendiri snek berkalori tinggi seperti coklat dan bar bijirin untuk membekalkan tenaga sebelum, semasa dan selepas mendaki. Bawa juga air minuman yang mencukupi.
  • Tongkat gunung (hiking stick)
  • Telefon dan kamera
  • Jika mendaki bersendirian (tanpa pemandu pelancong), bawa kit pertolongan cemas sendiri.
  • Selimut kecemasan, wisel dan lampu kepala sebagai persediaan sekiranya anda tersesat atau terkandas di dalam hutan.
  • Tabir suria. Walaupun cuaca sejuk, masih terdapat sinar UV yang membahayakan kulit, terutama di kawasan beraltitud tinggi.
  • Beg galas kecil untuk membawa kesemua di atas dan beg kalis air untuk melindungi barang-barang berharga anda sekiranya hari hujan.

* Artikel asal telah diterbitkan di Ummi Goes Where? pada tahun 2020.

Pernahkah anda melawat Mossy Forest? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen di bawah.

Baca juga:

Posted in BM

Related Posts

2 Comments

  1. Pingback:Hiking Mount Irau (Mossy Forest), Cameron Highlands – Ummi Around Malaysia

  2. Pingback:Mendaki Bukit Batu Putih Tanjung Tuan (Port Dickson) – Ummi Around Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *