Bahasa Melayu | English
Table of Contents
ToggleTadom Hill Resorts - Bamboo-Themed Glamping Spot Near KL
* Artikel asal telah diterbitkan di Ummi Goes Where? pada tahun 2021.
Saya sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk bercuti di Tadom Hill Resorts, sejak awal penubuhannya lagi.
Tempat penginapan ini pernah viral di media sosial suatu ketika dulu kerana keunikan seni binanya yang bertemakan buluh serta lokasinya yang dikelilingi dengan keindahan alam semula jadi. Bukan itu saja, ia juga merupakan antara tempat ‘glamping’ pertama di Malaysia.
Cuma malangnya, saya tak pernah berkesempatan untuk ke sana kerana sukar untuk mencari masa yang sesuai untuk pergi bersama rakan-rakan. Masing-masing mempunyai jadual kerja yang berbeza. Dan tak dinafikan juga, saya biasanya lebih cenderung bercuti di negeri atau negara lain berbanding di Selangor.
Namun, musim PKP pada tahun 2021 ada hikmahnya juga. Oleh kerana beberapa rakan saya terpaksa bekerja dari rumah, maka lebih mudahlah untuk kami merancang percutian bersama. Tambahan pula, perjalanan merentas negeri tidak dibenarkan. Jadi, inilah masanya untuk kami menikmati keindahan di negeri sendiri.
Saya dan tiga orang rakan akhirnya berpeluang untuk merasai pengalaman menginap di Tadom Hill Resorts selama 2 hari 1 malam.
Jika anda ingin tahu apa yang menariknya di sana, teruskan membaca!
Tadom Hill Resorts - Penginapan Unik di Selangor
Tadom Hill Resorts pada asalnya ialah sebuah perkampungan suku kaum Temuan, yang terletak di dalam hutan. Di tengah-tengahnya pula, terdapat sebuah tasik (bekas lombong batu kapur) yang diberi nama “Emerald Lake“.
Namun, sejak lima tahun yang lalu, penduduk di sini telah bersedia untuk menerima kedatangan pengunjung luar, lalu menukar perkampungan mereka menjadi sebuah resort yang berkeluasan 45 ekar.
Apa yang menariknya tentang Tadom Hill Resort ini ialah penggunaan buluh yang sememangnya telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat di sini. Hampir keseluruhan resort ini dibina menggunakan buluh sebagaimana rumah tradisional mereka.
Tadom Hill Resorts juga menitik beratkan konsep mesra alam dan nilai kemasyarakatan, di mana sebahagian besar pekerja mereka adalah dari kalangan suku Temuan itu sendiri.
Waktu Terbaik Untuk ke Tadom Hill
Untuk lari dari kesesakan, elakkan pergi pada hujung minggu, cuti sekolah, atau cuti umum.
Kami memilih untuk pergi pada hari Isnin, dan pada awalnya memang terasa seperti tempat itu kami yang punya kerana hampir tiada pengunjung lain.
Tetapi, sejurus selepas kami selesai bermandi-manda di tasik, satu rombongan (lebih kurang 50 orang) tiba.
Jadi, nasihat saya, cuba datang awal. Pas harian di situ sah bermula jam 9 pagi hingga 9 malam dan waktu operasi tasik pula adalah dari jam 9 pagi hingga 6.30 petang.
Apa pun, kawasan di situ memang cukup luas. Walaupun ramai orang, masih tidak terasa terlalu sesak. Cuma mungkin terpaksa menunggu giliran jika mahu menggunakan kemudahan seperti rakit, meja ping pong, gelanggang bola tampar, dan sebagainya.
Cara Untuk ke Tadom Hill Resorts
Tadom Hill Resorts terletak kira-kira 45 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur, dan 15 minit dari KLIA jika menaiki kereta.
Jika anda tidak mempunyai kenderaan sendiri (atau malas memandu seperti kami), jangan bimbang. Anda boleh menaiki ERL dari Kuala Lumpur ke stesen Salak Tinggi.
Sila klik di sini untuk mendapatkan jadual tren terkini.
Dari Salak Tinggi, anda boleh menaiki pengangkutan percuma ke Tadom Hill Resorts, dengan syarat anda telah menempahnya terlebih dahulu, sekurang-kurangnya 48 jam sebelum.
Harga Bilik di Tadom Hill Resorts
Chalet
Chalet Gendui
Merupakan chalet yang paling premium di Tadom Hill Resort, Chalet Gendui dilengkapi dengan perabot buluh, termasuk katil bersaiz king empat tiang untuk keselesaan optimum. Sesuai untuk 2 orang. Harga bermula dari RM288 untuk satu malam.
Chalet Semantan
Sama seperti Chalet Gendui, Chalet Semantan juga dilengkapi dengan penyaman udara dan bilik air dengan air panas. Sesuai untuk 2 orang. Harga bermula dari RM268 untuk satu malam.
Chalet Bamboo Madu
Kecil sedikit daripada Chalet Gendui, Bamboo Madu pada awalnya diberi nama “Astana Ninik”.
Setiap chalet disediakan dengan 2 buah tilam dan boleh memuatkan sehingga 3 orang.
Harga bermula dari RM288 untuk satu malam (terdapat caj tambahan jika 3 orang).
Glamping
Lakeside Mini Chalet
Jika anda mahukan penginapan yang lebih ringkas, Lakeside Mini Chalet menawarkan ruang yang kecil tetapi selesa untuk dua orang. Setiap chalet didatangkan dengan tilam, bantal, dan tingkap untuk melihat pemandangan tasik. Bilik air kongsi terletak berhampiran. Harga bermula dari RM155 untuk satu malam.
Hammock Sphere
Sekiranya kesemua chalet di atas masih tidak cukup adventure untuk anda, Hammock Sphere mungkin pilihan yang terbaik.
Popular dalam kalangan pengembara solo, ruangan ini boleh menempatkan sehingga 10 buah hammock dan dilengkapi kelambu.
Jika anda datang secara berkumpulan, anda boleh menempah keseluruhan ruang tersebut. Harga bermula dari RM65 setiap orang untuk satu malam.
Untuk Kumpulan Besar & Keluarga
Hakka Village
Hakka Village terdiri daripada dua tingkat dengan 12 bilik bagi setiap tingkat. Direka khas untuk kumpulan besar dan keluarga, setiap bilik boleh menempatkan 4 hingga 6 orang.
Bilik-bilik di Hakka Village ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu Hakka Village Lux (dengan penyaman udara) dan Hakka Village Eco (dengan kipas siling dan dinding). Bilik air kongsi disediakan di kedua-dua tingkat. Harga bermula dari RM320 satu malam untuk bilik 4 orang.
Bamboo Hut
Satu lagi ruang penginapan untuk kumpulan besar ialah Bamboo Hut yang boleh memuatkan sehingga 7 orang sebilik. Bilik air disediakan di dalam. Harga bermula dari RM609 untuk satu malam.
Mendaftar Masuk di Tadom Hill Resorts
Waktu daftar masuk yang ditetapkan adalah pada pukul 3 petang, tetapi kami sengaja datang lebih awal. Jika bilik masih belum sedia, kami bercadang untuk menghabiskan masa senggang itu dengan mencuba fasiliti dan aktiviti rekreasi yang ada.
Kami tiba di stesen Salak Tinggi sekitar jam 12 tengah hari. Tidak lama selepas itu, van shuttle percuma yang disediakan oleh pihak resort tiba untuk menjemput kami berempat.
Oleh kerana nama tempatnya ‘Bukit Tadom’, pada sangkaan kami, sudah tentu ia berada jauh di pedalaman, mungkin di tengah hutan belantara dengan jalan berbukit-bukau yang hanya mampu diredah oleh kenderaan pacuan empat roda. Itulah sebabnya kami tidak mahu memandu kereta sendiri.
Rupa-rupanya sangkaan kami jauh meleset. Perjalanan dari stesen untuk sampai ke resort mengambil masa tidak lebih 15 minit. Lebih mengejutkan lagi, perkarangan resort itu terletak betul-betul di tepi jalan besar.
Kami mendaftar masuk tanpa sebarang masalah walaupun tiba lebih awal daripada waktu yang ditetapkan. Setelah pendaftaran dibuat, kami semua dipakaikan tag ‘Pas Harian’ di pergelangan tangan.
Pas harian ini akan memberikan kami akses ke tasik dan semua kawasan rekreasi di sekitar resort itu.
Bilik Kami di Hakka Village
Memandangkan kami cuma berempat dan masing-masing tidak cerewet, kami memilih bilik yang paling murah iaitu Hakka Village Eco yang tidak mempunyai pendingin hawa.
Senibina bangunan Hakka Village ini agak unik. Diinspirasikan oleh ‘tulou‘, iaitu sejenis rumah tradisional di Fujian, China, struktur bangunan ini adalah berbentuk silinder dengan ruang kosong di tengah-tengah.
Kalau di Fujian pada zaman dahulu, bangunan sebegini memiliki dua fungsi, iaitu sebagai tempat kediaman dan juga sebagai kubu pertahanan. Setakat hari ini, Hakka Village di Tadom Hill Resorts adalah satu-satunya ‘tulou‘ di Malaysia yang diperbuat sepenuhnya menggunakan buluh.
Bilik kami berada di tingkat atas dan dilengkapi dengan dua katil bertingkat. Katilnya besar dan selesa. Malah, salah satu daripada katil yang bawah adalah bersaiz queen. Jadi, bilik ini sebenarnya mampu memuatkan 5 orang.
Bilik itu juga mempunyai sebuah meja solek, cermin, rak bertingkat, kipas, dan soket elektrik di setiap katil. Turut disediakan ialah penghalau nyamuk elektrik, selimut, tuala, dan 5 botol air mineral. Jika air tidak cukup, boleh isi semula di mesin penapis air (water dispenser) yang terletak berhadapan bilik mandi wanita.
Bagi yang tak tahan panas, jangan risau. Kipas dinding yang ada di setiap katil memang cukup kuat, sehingga kami terpaksa mematikannya pada waktu malam kerana terlalu sejuk. Mujur juga kami tak memilih bilik yang ada penyaman udara.
Bilik air kongsi ada di kedua-dua tingkat (yang perempuan di bawah dan yang lelaki di atas).
Pilihan Makanan di Tadom Hill Resorts
Makan Tengah Hari
Selepas mendaftar masuk, kami naik ke bilik untuk meletakkan beg dan menyalin pakaian. Kemudian, kami terus turun ke Tadom Hill Cafe untuk makan tengah hari.
Kafe ini ada pelbagai masakan panas seperti nasi goreng dan hidangan mi, tapi yang paling menarik perhatian kami ialah set nasi bambu.
Dengan harga cuma RM10, set ini termasuk nasi (yang dimasak di dalam buluh), ayam goreng berempah, kari, sambal, dan air teh o ais limau. Memang sangat berbaloi, dan bersesuaian dengan tema Tadom Hill Resorts iaitu buluh.
Memandangkan kami adalah pelanggan pertama mereka pada hari itu, nasi masih belum siap, jadi kami terpaksa menunggu sedikit. Apa pun, penantian kami tidak sia-sia kerana set nasi bambu itu memang sedap.
Nasinya yang berbalut daun pisang begitu lembut dan harum. Ayam goreng berempah pula cukup perisa dan kerangupannya. Begitu juga dengan kari dan sambal, semuanya enak belaka. Kalau di Kuala Lumpur, mustahil dapat menjumpai hidangan sebegitu dengan harga RM10.
Makan Malam
Untuk makan malam, kami ke restoran yang satu lagi pula iaitu Garden Bistro, yang terletak bersebelahan tasik. Yang ini lebih mewah sikit daripada kafe siang tadi.
Kalau di Tadom Hill Cafe, pelanggan terpaksa layan diri, di Garden Bistro ada pelayan yang datang mengambil pesanan di meja. Menunya juga lebih bervariasi dan eksklusif.
Tetapi walaupun nampak mahal, sebenarnya tidak. Harga setiap hidangan masih lagi mampu milik.
Saya memilih hidangan ayam panggang (RM15), manakala rakan-rakan saya pula memesan mi goreng, nasi goreng dengan ayam crispy, dan nasi goreng cili padi, masing-masing tidak lebih daripada RM20 termasuk air. Dari segi rasa juga memang sangat memuaskan.
Rombongan yang tiba beramai-ramai tadi pula mengadakan jamuan BBQ di luar.
Kelengkapan BBQ boleh disewa di Tadom Hill Resorts dengan harga RM65, termasuk satu paket arang buluh. Anda boleh memilih sama ada untuk menempah BBQ platter daripada pihak resort atau membawa makanan sendiri. Syaratnya, makanan yang dibawa mestilah halal.
Anda tidak dibenarkan untuk membawa pit barbeku sendiri.
Sarapan
Harga sarapan memang sudah termasuk dalam harga bilik. Kami dihidangkan dengan bufet yang terdiri daripada bermacam-macam makanan tempatan dan Barat, antaranya nasi goreng, mi goreng, nasi lemak, sosej, telur, roti bakar, bijirin, bubur, karipap, dan kuih muih.
Saya tak pasti sama ada bufet seperti itu disediakan setiap hari atau hanya apabila ada ramai tetamu di resort. Walau bagaimanapun, rasa makanannya tidak seenak makanan di Tadom Hill Cafe dan Garden Bistro.
Aktiviti Menarik di Tadom Hill Resorts
Di Tadom Hill Resorts, anda tidak akan pernah berasa bosan. Sama ada anda gemarkan aktiviti lasak atau lebih suka bersantai, pastinya ada sesuatu yang sesuai untuk anda.
Sejurus selepas makan tengah hari, kami tidak berlengah lagi dan terus bergerak ke Emerald Lake. Aktiviti pertama kami adalah berakit. Sebuah rakit buluh boleh menampung sehingga 4 orang, memang sesuai sangat untuk kumpulan kecil kami.
Jika anda tidak pernah mendayung rakit buluh sebelum ini, ia sedikit susah berbanding kayak atau sampan kerana bentuknya yang tidak aerodinamik. Tambahan pula, hanya dua pendayung yang diberikan bagi setiap rakit.
Di tasik itu juga terdapat platform terjunan setinggi 5 meter, gelongsor air, dan Tarzan swing, tetapi disebabkan kami semua penakut, kami sepakat untuk berenang, berakit, dan menaiki buaian saja.
Puas di tasik, kami ke trek ATV pula. Untuk menaiki ATV, cajnya berasingan, iaitu RM43 seorang untuk perjalanan sejauh 2.5 kilometer.
Saya pernah memandu ATV sebelum ini, tetapi buat rakan-rakan saya, ini kali pertama. Jadi, sebelum memulakan perjalanan, guide kami memberi taklimat ringkas tentang cara-cara pengendalian kenderaan tersebut.
Pada permulaan trek, kami terpaksa mengharungi pelbagai halangan seperti turun naik bukit, membuat bentuk bulatan, melalui selekoh tajam, serta jalan yang sempit, berbatu, berlopak, dan berlumpur. Tujuannya adalah untuk menguji kemahiran kami.
Sepanjang perjalanan, guide kami sentiasa berada di hadapan untuk menunjuk arah dan membantu seandainya ada masalah.
Kami sangat berpuas hati dengan perkhidmatan beliau. Beliau bukan sahaja membantu menunjukkan jalan, malah juga membawa kami ke lokasi-lokasi yang menarik untuk mengambil gambar.
Selesai menaiki ATV, kami mengambil peluang untuk berjalan-jalan di sekitar trek. Luas juga kawasannya, dan dikelilingi dengan bukit batu kapur, pokok-pokok, dan kawasan berpaya. Di tengahnya, kami menjumpai sebuah pagoda tiga tingkat.
Dari tingkat atas pagoda itu, kami dapat menikmati pemandangan indah waktu senja sambil ditemani kicauan burung yang terbang pulang ke sarang.
- Berenang di dalam tasik
- Terjun dari platform buluh berketinggian 5 meter
- Rakit buluh
- Donut boat, bot tapak lutsinar, water skipper
- Tarzan swing
- Gelongsor air
- ATV
- Go-kart
- Ping pong
- Memanah
- Sumpit
- Congkak
- Giant Jenga
- Flying fox
- Abseiling
- Badminton
- Bola tampar
- Paintball
- Water gel target shooting
- Tarik tali
- Limbo
- Taman permainan kanak-kanak
Sekiranya anda tidak mahu bermalam di sini, anda boleh mengambil Pas Harian (Day Pass) sahaja dengan harga RM20 (Dewasa) / RM15 (Kanak-kanak) pada hari biasa atau RM25 (Dewasa) / RM20 (Kanak-kanak) pada hujung minggu dan cuti umum.
Pas ini sah digunakan untuk semua aktiviti di atas kecuali ATV, go-kart, memanah, sumpit, paintball, water gel gun, boat rides, abseiling, dan flying fox. Pas harian ini diberikan percuma untuk semua tempahan bilik.
Untuk semua aktiviti yang tidak termasuk dalam pas harian, bayarannya dikenakan secara ala carte. Senarai harga boleh dilihat di sini.
Tips & Info Tambahan
- Walaupun walk-in dibenarkan, anda tetap digalakkan untuk menempah bilik lebih awal kerana ada kalanya resort penuh akibat tempahan besar.
- Tadom Hill Resorts tidak menyediakan WiFi. Di sini, anda diajak untuk merehatkan minda dari sebarang gajet, media sosial, dan kesibukan kerja.
- Di ruang lobi, terdapat kedai serbaneka yang menjual snek, aiskrim, dan keperluan asas.
- Anda tidak dibenarkan membawa khemah, pit barbeku, dapur, grill, steamboat, atau tepung.
- Sepanjang waktu operasi tasik, ada beberapa orang anggota penyelamat yang bertugas.
- Semua pengunjung diwajibkan memakai jaket keselamatan semasa melakukan sebarang aktiviti air.
- Pastikan anda datang awal untuk memanfaatkan pas harian anda sepenuhnya.
- Waktu tengah hari di sana sangat panas. Gunakan tabir suria secukupnya.
- Bagi yang cenderung digigit nyamuk, gunakan losyen penghalau serangga jika ingin berada di luar pada waktu malam.
- Tadom Hill Resorts juga boleh ditempah untuk kem bina semangat, majlis perkahwinan, dan penggambaran pra-perkahwinan.
- Tempat letak kereta disediakan percuma untuk pengunjung.
- Jika kumpulan anda lebih daripada 15 orang, anda boleh menempah makanan 3 hari lebih awal.
Akhir Kata
Tadom Hill Resorts menjanjikan anda pengalaman yang tidak dapat dilupakan di samping peluang untuk mengenali budaya masyarakat Temuan. Resort ini adalah pilihan terbaik bagi mereka yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi tanpa mengabaikan aspek keselesaan.
Dengan pelbagai aktiviti menarik dan sajian makanan yang menyelerakan, tempat ini sememangnya sesuai untuk seisi keluarga. Dan yang paling seronok, harganya berpatutan.