Pengalaman ‘Glamping’ di Tadom Hill Resorts, Banting
Bahasa Melayu | English
Tadom Hill Resorts: Port Glamping Bertemakan Buluh Berhampiran KL
Artikel asal telah diterbitkan di Ummi Goes Where? pada tahun 2021. Artikel ini telah dikemas kini untuk rujukan pembaca.
Saya sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk bercuti di Tadom Hill Resorts, sejak tempat ini mula-mula mendapat perhatian di media sosial lagi.
Tempat penginapan ini pernah viral kerana keunikan seni binanya yang bertemakan buluh, selain lokasinya yang dikelilingi keindahan alam semula jadi.
Bukan itu saja, Tadom Hill Resorts juga antara tempat glamping yang pertama di Malaysia, terutama bagi mereka yang mencari percutian singkat berhampiran Kuala Lumpur.
Cuma saya tidak pernah berkesempatan untuk ke sana. Bukan kerana tidak berminat, tetapi susah untuk mencari masa yang sesuai untuk pergi bersama rakan-rakan. Masing-masing ada jadual kerja sendiri.
Selain itu, saya juga biasanya lebih cenderung bercuti di negeri atau negara lain berbanding meneroka Selangor.
Namun, musim PKP pada tahun 2021 ada hikmahnya juga. Oleh kerana beberapa rakan saya terpaksa bekerja dari rumah, maka lebih mudahlah untuk kami merancang percutian bersama. Tambahan pula, perjalanan merentas negeri tidak dibenarkan. Jadi, inilah masanya untuk kami menikmati keindahan di negeri sendiri.
Saya dan tiga orang rakan akhirnya berpeluang untuk merasai pengalaman menginap di Tadom Hill Resorts selama 2 hari 1 malam.
Jika anda sedang mencari tempat glamping di Selangor atau percutian alam semula jadi berhampiran KL, ini pengalaman saya di Tadom Hill Resorts.
This post may contain affiliate links, which means I may earn a commission at no extra cost to you. As an Amazon Associate, I earn from qualifying purchases. For more details, please read my Privacy Policy.
Tadom Hill Resorts: Penginapan Unik di Selangor
Tadom Hill Resorts terletak di Banting, Selangor, tidak jauh dari Kuala Lumpur dan KLIA. Resort ini dibina di kawasan seluas kira-kira 45 ekar, dengan tasik berwarna kehijauan yang dahulunya merupakan bekas lombong batu kapur.
Kawasan ini pada asalnya ialah sebuah perkampungan suku kaum Temuan, yang terletak di dalam hutan. Apa yang menjadikan Tadom Hill Resorts menarik ialah penggunaan buluh yang menjadi elemen utama dalam seni bina dan suasana resort ini.
Hampir keseluruhan kawasan resort menggunakan buluh sebagai bahan binaan atau elemen hiasan, daripada chalet dan laluan pejalan kaki hinggalah ke kawasan aktiviti. Hasilnya, suasana di sini terasa lebih semula jadi dan berbeza daripada resort biasa.
Tadom Hill Resorts juga menitik beratkan konsep mesra alam dan nilai kemasyarakatan, di mana sebahagian besar pekerja mereka adalah dari kalangan suku Temuan itu sendiri.
Waktu terbaik untuk ke Tadom Hill
Jika anda mahu suasana yang lebih tenang, sebaiknya datang pada hari biasa. Elakkan hujung minggu, cuti sekolah, dan cuti umum kerana resort ini boleh menjadi lebih riuh, terutamanya jika ada rombongan besar atau acara berkumpulan.
Kami memilih untuk pergi pada hari Isnin, dan pada awalnya memang terasa seperti tempat itu kami yang punya kerana hampir tiada pengunjung lain.


Namun, selepas kami selesai bermandi-manda, satu bas rombongan besar tiba.
Walaupun begitu, kawasan Tadom Hill Resorts cukup luas, jadi suasananya masih tidak terasa terlalu sesak. Cuma anda mungkin perlu menunggu giliran untuk menggunakan kemudahan tertentu seperti rakit, meja ping pong, gelanggang bola tampar, dan sebagainya,
Jadi, saya cadangkan datang awal supaya anda boleh memanfaatkan masa sepenuhnya.
Cara untuk ke Tadom Hill Resorts
Tadom Hill Resorts terletak di Banting, Selangor, kira-kira 45 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur dengan kereta, bergantung pada keadaan trafik. Ia juga tidak jauh dari KLIA, jadi lokasinya sesuai untuk percutian pendek atau staycation hujung minggu.
Cara paling mudah untuk ke Tadom Hill Resorts ialah dengan memandu sendiri. Tempat letak kereta ada disediakan untuk pengunjung.
Jika anda tidak mempunyai kenderaan sendiri (atau malas memandu seperti kami),anda boleh menaiki KLIA Transit atau KLIA Ekspres ke Stesen Salak Tinggi. Sila klik di sini untuk mendapatkan jadual tren terkini.
Semasa lawatan kami, pihak resort ada menyediakan perkhidmatan pengangkutan dari Salak Tinggi, tetapi anda perlu membuat tempahan awal.
Oleh kerana namanya “Bukit Tadom”, kami menyangka tempat ini terletak jauh di pedalaman, mungkin di tengah hutan belantara dengan jalan berbukit-bukau yang hanya mampu diredah oleh kenderaan pacuan empat roda. Itulah sebabnya kami tidak mahu memandu kereta sendiri.
Rupa-rupanya sangkaan kami jauh meleset. Perjalanan dari stesen untuk sampai ke resort mengambil masa tidak lebih 15 minit. Lebih mengejutkan lagi, perkarangan resort itu terletak betul-betul di tepi jalan besar.
Pilihan penginapan di Tadom Hill Resorts
Tadom Hill Resorts menawarkan beberapa jenis penginapan, daripada chalet peribadi hingga bilik berkumpulan dan pilihan glamping yang lebih ringkas.
Jenis bilik, kemudahan, dan harga mungkin berubah dari semasa ke semasa, jadi sila semak laman rasmi atau platform tempahan untuk maklumat terkini.
Chalet Gendui

Merupakan chalet yang paling premium di Tadom Hill Resort, Chalet Gendui dilengkapi dengan perabot buluh, termasuk katil bersaiz king dan penyaman udara untuk keselesaan optimum. Sesuai untuk 2 orang.
Chalet Semantan

Sama seperti Chalet Gendui, Chalet Semantan juga dilengkapi dengan penyaman udara dan bilik air dengan air panas. Sesuai untuk 2 orang.
Lakeside Mini Chalet

Jika anda mahukan penginapan yang lebih ringkas, Lakeside Mini Chalet menawarkan ruang yang kecil dan selesa untuk dua orang. Setiap chalet dilengkapi dengan tilam, bantal, dan tingkap untuk melihat pemandangan tasik. Bilik air kongsi terletak berhampiran.
Bamboo Hut

Satu lagi ruang penginapan untuk kumpulan besar ialah Bamboo Hut yang boleh memuatkan sehingga 7 orang sebilik. Bilik air disediakan di dalam.
Chalet Bamboo Madu

Chalet Bamboo Madu ialah pilihan chalet yang lebih kecil dan selesa. Sesuai untuk dua hingga tiga orang.
Hammock Sphere

Hammock Sphere sesuai untuk mereka yang mahu mencuba pengalaman menginap yang lebih santai dan sedikit berbeza. Di sini, tetamu tidur di dalam hammock yang dilengkapi kelambu.
Pilihan ini popular dalam kalangan pengembara solo atau kumpulan yang mahukan pengalaman glamping yang lebih terbuka dan sederhana.
Jika datang berkumpulan, anda juga boleh memilih untuk menempah keseluruhan ruang.
Hakka Village

Hakka Village terdiri daripada dua tingkat dengan 12 bilik bagi setiap tingkat. Direka khas untuk kumpulan besar dan keluarga, setiap bilik boleh menempatkan 4 hingga 6 orang.
Bilik-bilik di Hakka Village ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu Hakka Village Lux (dengan penyaman udara) dan Hakka Village Eco (dengan kipas siling dan dinding). Bilik air kongsi disediakan di kedua-dua tingkat.
Mendaftar masuk di Tadom Hill Resorts
Waktu daftar masuk yang ditetapkan adalah pada pukul 3 petang, tetapi kami sengaja datang lebih awal. Jika bilik masih belum sedia, kami bercadang untuk menghabiskan masa senggang itu dengan mencuba fasiliti dan aktiviti rekreasi yang ada.
Kami tiba di stesen Salak Tinggi sekitar jam 12 tengah hari. Tidak lama selepas itu, van shuttle percuma yang disediakan oleh pihak resort tiba untuk menjemput kami berempat.
Setibanya di sana, kami mendaftar masuk tanpa banyak masalah, walaupun kami tiba lebih awal daripada waktu daftar masuk biasa.
Selepas pendaftaran, kami diberi tag pas harian untuk dipakai di pergelangan tangan. Pas ini memberi akses ke kawasan tasik dan beberapa kawasan rekreasi di sekitar resort.

Bilik kami di Hakka Village
Memandangkan kami berempat dan tidak terlalu cerewet, kami memilih bilik Hakka Village Eco yang menggunakan kipas.

Senibina bangunan Hakka Village ini agak unik. Diinspirasikan oleh ‘tulou‘, iaitu sejenis rumah tradisional di Fujian, China, struktur bangunan ini adalah berbentuk silinder dengan ruang terbuka di bahagian tengah.
Kalau di Fujian pada zaman dahulu, bangunan sebegini memiliki dua fungsi, iaitu sebagai tempat kediaman dan juga sebagai kubu pertahanan.
Setakat hari ini, Hakka Village di Tadom Hill Resorts adalah satu-satunya ‘tulou‘ di Malaysia yang diperbuat sepenuhnya menggunakan buluh.

Bilik kami berada di tingkat atas dan dilengkapi dengan dua katil bertingkat. Katilnya besar dan selesa. Malah, salah satu daripada katil yang bawah adalah bersaiz queen. Jadi, bilik ini sebenarnya mampu memuatkan 5 orang.

Bilik itu juga mempunyai sebuah meja solek, cermin, rak bertingkat, kipas, dan soket elektrik di setiap katil. Turut disediakan ialah penghalau nyamuk elektrik, selimut, tuala, dan 5 botol air mineral. Jika air tidak cukup, boleh isi semula di mesin penapis air (water dispenser) yang terletak berhadapan bilik mandi wanita.
Bagi yang tak tahan panas, jangan risau. Kipas dinding yang ada di setiap katil memang cukup kuat, sehingga kami terpaksa mematikannya pada waktu malam kerana terlalu sejuk. Mujur juga kami tak memilih bilik yang ada penyaman udara.
Bilik air kongsi disediakan di kedua-dua tingkat. Semasa kami menginap, bilik air wanita terletak di tingkat bawah dan bilik air lelaki di tingkat atas.
Pilihan makanan di Tadom Hill Resorts
Tadom Hill Resorts mempunyai beberapa pilihan tempat makan, jadi anda tidak perlu keluar dari kawasan resort untuk mencari makanan.
Menu, harga, dan waktu operasi mungkin berubah-ubah, jadi sila semak dengan pihak resort untuk maklumat terkini.
Makan tengah hari
Selepas mendaftar masuk, kami naik ke bilik untuk meletakkan beg dan menukar pakaian. Kemudian, kami terus turun ke Tadom Hill Cafe untuk makan tengah hari.

Kafe ini menyediakan pelbagai pilihan makanan tempatan seperti nasi goreng dan hidangan mi. Namun, yang paling menarik perhatian kami ialah set nasi buluh.
Set ini dihidangkan dengan nasi yang dimasak dalam buluh, ayam goreng berempah, kari, sambal, dan minuman. Ia memang sesuai dengan tema Tadom Hill Resorts yang banyak menggunakan elemen buluh.

Oleh kerana kami antara pelanggan terawal pada hari itu, nasi masih belum siap dan kami perlu menunggu sedikit. Namun, penantian kami tidak sia-sia kerana set nasi buluh itu memang sedap.
Nasinya yang berbalut daun pisang begitu lembut dan harum. Ayam goreng berempah pula cukup perisa dan kerangupannya. Begitu juga dengan kari dan sambal, semuanya enak belaka.
Kalau di Kuala Lumpur, mustahil dapat menjumpai hidangan sebegitu dengan harga yang begitu murah.

Makan malam
Untuk makan malam, kami ke Garden Bistro, restoran yang terletak berhampiran tasik.
Berbanding Tadom Hill Cafe, Garden Bistro terasa lebih mewah dan selesa. Pelayan datang mengambil pesanan di meja, dan pilihan menunya juga lebih banyak.
Tetapi walaupun nampak mahal, sebenarnya tidak. Harga setiap hidangan masih lagi mampu milik.

Saya memesan ayam panggang, manakala rakan-rakan saya memesan mi goreng, nasi goreng dengan ayam crispy, dan nasi goreng cili padi. Dari segi rasa, semuanya memuaskan.

Rombongan yang tiba beramai-ramai tadi pula mengadakan jamuan BBQ di luar.
Kelengkapan BBQ boleh disewa di Tadom Hill Resorts. Peralatan memasak sendiri adalah tidak dibenarkan, tetapi anda boleh membawa makanan sendiri. Sila semak peraturan dan pilihan pakej terkini dengan pihak resort.
Sarapan
Harga sarapan memang sudah termasuk dalam tempahan bilik kami. Semasa lawatan kami, sarapan disediakan secara bufet dengan pilihan makanan tempatan dan Barat seperti nasi goreng, mi goreng, sosej, telur, roti bakar, bijirin, bubur, karipap, dan kuih-muih.
Saya tidak pasti sama ada bufet seperti ini disediakan setiap hari atau hanya apabila ada ramai tetamu. Dari segi rasa, sarapannya tidak begitu menonjol berbanding makan tengah hari dan makan malam kami, tetapi masih memuaskan.
Aktiviti menarik di Tadom Hill Resorts
Di Tadom Hill Resorts, anda tidak akan berasa bosan. Sama ada anda gemarkan aktiviti lasak atau lebih suka bersantai, pastinya ada sesuatu yang sesuai untuk anda.
Sejurus selepas makan tengah hari, kami tidak berlengah lagi dan terus menuju ke Emerald Lake. Aktiviti pertama kami adalah berakit menggunakan rakit buluh. Sebuah rakit buluh boleh menampung sehingga 4 orang, memang sesuai sangat untuk kumpulan kecil kami.
Jika anda tidak pernah mendayung rakit buluh, ia sebenarnya lebih mencabar berbanding kayak atau sampan kerana bentuknya yang tidak aerodinamik. Tambahan pula, hanya dua pendayung diberikan bagi setiap rakit.

Di tasik itu juga terdapat platform terjunan setinggi 5 meter, gelongsor air, dan Tarzan swing, tetapi disebabkan kami semua penakut, kami sepakat untuk berenang, berakit, dan menaiki buaian saja.

Puas di tasik, kami ke trek ATV pula. Aktiviti ini dikenakan caj berasingan.
Saya pernah memandu ATV sebelum ini, tetapi buat rakan-rakan saya, ini kali pertama. Jadi, sebelum memulakan perjalanan, guide kami memberi taklimat ringkas tentang cara-cara pengendalian kenderaan tersebut dan peraturan keselamatan yang perlu dipatuhi.

Pada permulaan trek, kami terpaksa mengharungi pelbagai halangan seperti turun naik bukit, membuat bentuk bulatan, melalui selekoh tajam, serta jalan yang sempit, berbatu, berlopak, dan berlumpur. Tujuannya adalah untuk menguji kemahiran kami.
Sepanjang perjalanan, guide kami sentiasa berada di hadapan untuk menunjuk arah dan membantu seandainya ada masalah.

Kami sangat berpuas hati dengan perkhidmatan beliau. Beliau bukan sahaja membantu menunjukkan jalan, malah juga membawa kami ke lokasi-lokasi yang menarik untuk mengambil gambar.



Selesai menaiki ATV, kami mengambil peluang untuk berjalan-jalan di sekitar trek. Luas juga kawasannya, dan dikelilingi dengan bukit batu kapur, pokok-pokok, dan kawasan berpaya. Di tengahnya, kami menjumpai sebuah pagoda tiga tingkat.
Dari tingkat atas pagoda itu, kami dapat menikmati pemandangan indah waktu senja sambil ditemani kicauan burung yang terbang pulang ke sarang.

Senarai aktiviti & fasiliti di Tadom Hill Resorts:
- Berenang di tasik
- Terjun dari platform buluh berketinggian 5 meter
- Rakit buluh
- Donut boat, bot tapak lutsinar, water skipper
- Tarzan swing
- Gelongsor air
- ATV
- Go-kart
- Ping pong
- Memanah
- Sumpit
- Congkak
- Giant Jenga
- Flying fox
- Abseiling
- Badminton
- Bola tampar
- Paintball
- Water gel target shooting
- Tarik tali
- Limbo
- Taman permainan kanak-kanak
Aktiviti yang tersedia mungkin berubah mengikut cuaca, penyelenggaraan, musim, atau operasi resort. Sesetengah aktiviti termasuk dalam pas harian, manakala aktiviti lain dikenakan bayaran tambahan.

Pas harian
Jika anda tidak mahu bermalam, anda boleh datang sebagai pengunjung harian dengan membeli Pas Harian atau Day Pass.
Pas ini memberi akses kepada beberapa aktiviti air dan darat seperti berenang, gelongsor air, bola tampar, dan permainan santai lain. Beberapa aktiviti lain seperti ATV, go-kart, memanah, sumpit, paintball, abseiling, dan flying fox dikenakan caj tambahan.
Senarai harga boleh dilihat di sini.
Untuk tetamu yang menginap, pas harian sudah termasuk dalam harga bilik.
Tips & info tambahan
- Walaupun walk-in dibenarkan, anda digalakkan untuk membuat tempahan lebih awal, terutama pada hujung minggu, musim cuti sekolah, atau jika anda datang dalam kumpulan yang besar.
- Tadom Hill Resorts tidak menyediakan WiFi. Liputan telefon juga agak terhad. Di sini, anda diajak untuk merehatkan minda dari sebarang gajet, media sosial, dan kesibukan kerja.
- Di ruang lobi, terdapat kedai serbaneka yang menjual snek, aiskrim, dan keperluan asas.
- Pengunjung tidak dibenarkan membawa khemah, pit barbeku, dapur, grill, steamboat, atau tepung.

- Semua pengunjung diwajibkan memakai jaket keselamatan semasa melakukan sebarang aktiviti air.
- Pastikan anda datang awal untuk memanfaatkan pas harian anda sepenuhnya.
- Waktu tengah hari di sana sangat panas. Gunakan tabir suria secukupnya.
- Bagi yang mudah digigit nyamuk, gunakan losyen penghalau serangga jika ingin berada di luar pada waktu malam.
- Tadom Hill Resorts juga boleh ditempah untuk kem bina semangat, majlis perkahwinan, dan penggambaran pra-perkahwinan.
- Tempat letak kereta disediakan percuma untuk pengunjung.
- Jika anda datang dalam kumpulan besar, hubungi pihak resort lebih awal untuk bertanya tentang tempahan makanan atau pakej berkumpulan.
Akhir kata
Pada pendapat saya, Tadom Hill Resorts memang berbaloi dikunjungi, terutamanya bagi mereka yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi tanpa perlu memandu terlalu jauh dari Kuala Lumpur.
Dengan pelbagai aktiviti menarik dan sajian makanan yang menyelerakan, tempat ini sememangnya sesuai untuk seisi keluarga. Dan yang paling seronok, harganya berpatutan.

Tadom Hill Resorts
Bukit Tadom, Kampung Labohan Dagang,
42700 Banting, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
T: 012 – 5225728 / 012 – 5225908 / 012 – 5225883
Emel
Klik di sini untuk membuat tempahan.
