Melawat Muzium Terbalik Pulau Pinang: Berbaloi atau Tidak?
Bahasa Melayu | English
Melawat Muzium Terbalik – Aktiviti Menarik di Pulau Pinang
Anda tak minat muzium? Saya pun sama. Setiap kali terdengar perkataan ‘muzium’, minda saya akan terus terbayang subjek Sejarah sekolah menengah yang bagi saya begitu membosankan, dengan pelbagai tarikh dan kronologi peristiwa yang perlu dihafal.
Tetapi lain pula halnya dengan Muzium Terbalik (Upside Down Museum) Pulau Pinang. Jangan biarkan perkataan ‘muzium’ itu membuatkan anda terus hilang minat.
Muzium ini bukanlah sebuah muzium konvensional yang sarat dengan bahan pameran dan papan maklumat. Sebaliknya, ia lebih kepada aktiviti interaktif yang menyeronokkan.
Di sini, anda boleh bergambar di dalam bilik-bilik yang kelihatan seperti ruang rumah biasa, tetapi dengan semua perabot dan perkakas dilekatkan pada siling. Apabila gambar tersebut diterbalikkan, anda akan kelihatan seolah-olah sedang melawan graviti.
This post may contain affiliate links, which means I may earn a commission at no extra cost to you. As an Amazon Associate, I earn from qualifying purchases. For more details, please read my Privacy Policy.
Apa itu Muzium Terbalik Pulau Pinang?
Muzium Terbalik Pulau Pinang, atau Penang Upside Down Museum, ialah sebuah tarikan yang terletak di George Town, Pulau Pinang.
Rekaan dalamannya diinspirasikan oleh susun atur rumah lama di Pulau Pinang. Di dalamnya terdapat beberapa ruang seperti ruang tamu, dapur, ruang makan, bilik tidur, bilik mandi, dan beberapa bahagian lain yang biasa terdapat di dalam rumah.
Bezanya, semua benda di dalam muzium ini berada dalam keadaan terbalik.
Sofa, meja makan, tab mandi, sinki, almari, peti sejuk, dan pelbagai barangan kecil lain dilekatkan pada siling.
Tujuannya adalah supaya apabila anda bergambar di dalam ruang tersebut, dan gambar tersebut diterbalikkan, hasilnya akan kelihatan seolah-olah anda sedang berjalan di siling, memanjat dinding, atau terapung di dalam rumah.
Muzium ini bukanlah muzium yang berbentuk ilmiah, tetapi ia merupakan tempat yang menarik jika anda suka bergambar atau mencari aktiviti ringan yang menghiburkan di George Town.
Waktu operasi Muzium Terbalik Pulau Pinang
Muzium Terbalik Pulau Pinang dibuka setiap hari dari pukul:
9:30 pagi hingga 6:30 petang
Kemasukan terakhir adalah sekitar 5:45 petang.
Namun, waktu operasi boleh berubah dari semasa ke semasa. Silaa semak laman Facebook rasmi mereka atau hubungi pihak muzium sebelum berkunjung.
Harga tiket Muzium Terbalik Pulau Pinang
Warganegara (dengan MyKad):
Dewasa: RM26
Kanak-kanak (5 – 12 tahun): RM14
Bukan warganegara
Dewasa: RM36
Kanak-kanak (5 – 12 tahun): RM26
Harga tiket boleh berubah dari semasa ke semasa. Untuk mendapatkan harga tiket dan promosi terkini, anda boleh menyemak laman Facebook rasmi atau bertanya terus di kaunter tiket.
Lokasi Muzium Terbalik Pulau Pinang
Muzium ini terletak di George Town, tidak jauh dari beberapa tarikan popular lain di Pulau Pinang.
Alamat:
45, Lebuh Kimberly, George Town, 10100 Pulau Pinang, Malaysia
No. telefon:
+604 264 2660
Pengalaman melawat Muzium Terbalik Pulau Pinang

Jika anda berkunjung pada hujung minggu atau cuti sekolah, berkemungkinan besar anda terpaksa beratur panjang untuk masuk. Namun, anda tidak perlu terlalu bimbang kerana sistem lawatan di sini agak teratur.
Hanya satu kumpulan pelawat dibenarkan masuk ke dalam setiap bilik pada satu-satu masa. Anda tidak perlu berkongsi ruang dengan kumpulan pelawat lain.
Setiap bilik mempunyai set dan konsep tersendiri. Petugas muzium akan membantu mengambil gambar menggunakan telefon atau kamera anda sendiri.
Mereka juga akan memberi arahan tentang cara berdiri, posisi tangan dan gaya yang sesuai supaya gambar kelihatan lebih menjadi apabila diterbalikkan nanti.
Prosesnya agak cepat. Setelah beberapa keping gambar diambil, anda akan diminta bergerak ke bilik seterusnya.
Secara purata, anda mungkin hanya berada selama satu hingga dua minit di dalam setiap bilik. Keseluruhan lawatan biasanya mengambil masa kurang daripada satu jam, bergantung pada jumlah pelawat ketika itu.

Ruang-ruang di dalam muzium ini direka seperti bahagian rumah, termasuk ruang tamu, dapur, bilik tidur, bilik mandi dan ruang makan.
Apa yang saya anggap paling menarik ialah perincian di setiap ruang.
Rumah terbalik ini bukan sekadar mempunyai perabot di siling, tetapi juga barangan-barangan kecil seperti peralatan dapur, barangan mandian, bahan pembersih, hiasan, dan pelbagai perkakas lain yang menjadikan setiap bilik kelihatan lebih realistik.
Adakah Muzium Terbalik Pulau Pinang sesuai untuk solo traveler?
Ya, bagi saya muzium ini sesuai untuk pelawat yang datang bersendirian.
Salah satu kelebihannya ialah terdapat petugas yang akan membantu mengambil gambar. Jadi, anda tidak perlu bergantung pada tripod, self-timer atau meminta bantuan orang lain.
Tips melawat Muzium Terbalik Pulau Pinang
- Pastikan anda membawa telefon pintar atau kamera bersama. Ini penting! Lawatan ke Muzium Terbalik Pulau Pinang ini tidak akan bermakna tanpa kamera.
- Pastikan juga kamera atau telefon pintar anda mempunyai bateri dan kapasiti simpanan yang mencukupi. Jurugambar akan mengambil beberapa keping gambar bagi setiap posisi.
- Untuk menjadikan gambar tampak realistik bagi yang berambut panjang, sila ikat atau sanggulkan rambut anda. Jika tidak, gambar akan jadi kurang meyakinkan, seperti ini:

- Atas sebab yang sama, elakkan daripada memakai pakaian yang terlalu longgar, agar tidak kelihatan ganjil.
- Jika anda tidak membawa getah rambut bersama, boleh juga memegang rambut anda seperti ini:

Akhir kata
Adakah Muzium Terbalik Pulau Pinang berbaloi untuk dilawati?
Ya, bagi saya memang berbaloi.
Keseluruhan proses berjalan dengan penuh efisien dan lancar sekali. Dengan mengehadkan jumlah individu di dalam setiap bilik pada satu-satu masa, para pengunjung dapat bergambar dengan selesa tanpa gangguan orang lain.
Tambahan pula, jurugambar bertugas sentiasa memberikan cadangan gaya dan posisi yang sesuai bagi setiap gambar. Oleh itu, pengunjung tidak perlu menghabiskan masa untuk mencari idea.

Pada mulanya, mungkin anda akan merasakan pengalaman ini seperti agak terburu-buru, kerana belum pun sempat hendak mengamati isi kandungan sesebuah bilik pameran di situ, anda telah disuruh untuk masuk ke bilik seterusnya.
Namun, lama-kelamaan barulah anda akan faham mengapa konsepnya sebegitu.
Disebabkan semua perkakas dilekatkan di atas siling, sememangnya agak sukar untuk ada meneliti kesemuanya. Isi kandungan muzium ini hanya boleh dihayati dengan lebih sempurna menerusi gambar-gambar kenangan yang diambil.
Secara keseluruhannya, Muzium Terbalik Pulau Pinang ialah tarikan yang sesuai jika anda mencari aktiviti ringkas, santai, dan lain daripada yang lain di George Town.
Muzium Terbalik Pulau Pinang
Alamat: 45, Lebuh Kimberly, George Town, 10100, Pulau Pinang.
No. telefon: +604 264 2660

One Comment