Melawat Tokong Ular Pulau Pinang
English | Bahasa Melayu
Melawat Tokong Ular Pulau Pinang
Terletak di Bayan Lepas, tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Tokong Ular Pulau Pinang ialah salah satu tempat menarik yang agak unik untuk dilawati di negeri ini.
Tokong ini dibina untuk memperingati Chor Soo Kong, seorang sami Buddha dan tabib dari Fujian, China, yang terkenal dengan kebolehan mengubati penyakit dan membantu masyarakat setempat.
Menurut legenda, Chor Soo Kong sering memberi perlindungan kepada ular-ular liar sepanjang hayatnya.
Selepas tokong ini dibina pada abad ke-19, beberapa ekor ular kapak dikatakan muncul secara tiba-tiba dan mula menjadikan tokong ini sebagai tempat tinggal sehinggalah ke hari ini.
This post may contain affiliate links, which means I may earn a commission at no extra cost to you. As an Amazon Associate, I earn from qualifying purchases. For more details, please read my Privacy Policy.
Lokasi Tokong Ular Pulau Pinang

Tokong Ular Pulau Pinang terletak di Bayan Lepas, kira-kira 3 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan lebih kurang 10 km dari George Town.
Lokasinya agak jauh dari kawasan pelancongan utama seperti George Town, Bukit Bendera dan Batu Ferringhi.
Disebabkan lokasinya yang berdekatan dengan lapangan terbang, tokong ini paling sesuai dilawati pada hari ketibaan atau sebelum pulang, terutamanya jika anda mempunyai sedikit masa sebelum penerbangan.
Cara untuk ke Tokong Ular Pulau Pinang
Cara paling mudah untuk ke Tokong Ular Pulau Pinang ialah dengan menaiki Grab, teksi, atau memandu sendiri.
Jika anda memandu dari George Town, ikut arah ke Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Apabila semakin hampir, anda akan nampak papan tanda pelancongan berwarna coklat yang menunjukkan arah ke tokong.
Terdapat tempat letak kereta berhampiran tokong, tetapi ketersediaannya mungkin bergantung pada waktu lawatan dan jumlah pengunjung.
Anda juga boleh ke sini dengan bas awam, tetapi bagi kebanyakan pelawat, Grab biasanya pilihan yang lebih mudah dan menjimatkan masa.
Waktu operasi Tokong Ular Pulau Pinang
Tokong Ular Pulau Pinang dibuka setiap hari, dari pukul 9 pagi hingga sekitar 5 petang. Waktu operasi boleh berubah dari semasa ke semasa, seperti waktu perayaan dan sebagainya.
Caj masuk Tokong Ular Pulau Pinang
Masuk ke kawasan tokong adalah percuma, tetapi sumbangan derma adalah dialu-alukan. Ladang ular pula mengenakan bayaran berasingan.
Semasa lawatan saya, caj masuk untuk ladang ular adalah RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.
Jika mahu bergambar dengan ular, caj tambahan juga dikenakan.
Pengalaman melawat Tokong Ular Pulau Pinang
Walaupun namanya agak menggerunkan, tokong ular ini sebenarnya tidaklah sedahsyat yang disangka. Tiada ular yang berkeliaran di merata tempat atau bersembunyi di sudut-sudut tokong sambil menanti mangsa.
Kebanyakan ular yang saya lihat berada dalam keadaan tidak aktif dan tidur di rak-rak khas yang disediakan.
Ular yang terdapat di sini kebanyakannya ialah ular kapak. Menurut sumber, ular-ular ini bersifat nokturnal dan cuma aktif pada waktu malam.
Selain itu, asap colok di dalam tokong juga dikatakan mempunyai kesan penenang dan membantu membuatkan ular menjadi kurang aktif.

Sebagai langkah keselamatan, terdapat papan tanda amaran yang mengingatkan pengunjung supaya tidak menyentuh atau mengganggu ular-ular tersebut.
Walaupun ada yang mengatakan ular-ular ini telah dibuang bisanya, ia masih mempunyai taring dan boleh mencederakan. Jadi, pilihan paling bijak adalah mengekalkan jarak yang selamat.
Selain ular, anda juga boleh melihat ruang sembahyang, seni bina tokong Cina, tempat membakar colok, telaga lama, serta sebuah loceng seberat hampir 300 kilogram yang dibawa khas dari China pada zaman Dinasti Manchuria.
Bergambar dengan ular
Di sebelah kawasan utama tokong, terdapat sebuah ladang ular yang menempatkan pelbagai spesis ular. Bahagian ini mungkin lebih menarik untuk mereka yang benar-benar berminat dengan reptilia.

Di satu penjuru, terdapat sebuah ruang kecil di mana pengunjung boleh bergambar dengan ular sawa dan ular kapak. Ular-ular ini telah dijinakkan sehingga kanak-kanak pun ramai yang mengambil gambar bersama mereka.
Saya sendiri berpeluang bergambar dengan seekor ular sawa yang dililitkan di tengkuk.
Pada hari yang sama, saya baru sahaja mencuba cabaran tali (rope-course challenge) tertinggi dunia di Komtar. Jadi, dalam masa satu hari, saya kira alang-alang sudah mencabar rasa takut pada ketinggian, bolehlah saya teruskan dengan rasa takut pada ular pula.


Walau bagaimanapun, saya masih tidak berani untuk bergambar bersama ular kapak kerana ia kelihatan jauh lebih aktif dan banyak bergerak berbanding si ular sawa. Mungkin lain kali!
Caj yang dikenakan untuk mengambil sekeping gambar pada waktu itu ialah RM30 (RM40 untuk dua keping). Saya berjaya menawar dan mendapatkan satu keping gambar dengan harga RM20.
Walaupun pekerja di sana ada menyediakan kamera profesional, mereka turut boleh membantu anda mengambil gambar menggunakan telefon sendiri supaya anda mempunyai salinan digital untuk dibawa pulang.
Akhir kata
Walaupun saya sebenarnya agak geli dengan reptilia, Tokong Ular Pulau Pinang tidaklah terlalu menakutkan atau menggelikan. Mungkin kerana ular-ular di sana kebanyakannya tidak aktif.
Kalau wujud ‘tokong cicak’ atau ‘tokong biawak’, barangkali saya tak berani langsung untuk menjejakkan kaki.
Bagi saya, Tokong Ular bukanlah satu tempat wajib pergi di Pulau Pinang. Tetapi jika anda berada berhampiran Bayan Lepas atau ingin mencari tarikan yang sedikit berbeza untuk dimasukkan ke dalam itinerari, ia boleh menjadi satu lawatan yang ringkas dan menarik.
Pernahkah anda melawat Tokong Ular Pulau Pinang? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen di bawah.
Tokong Ular Pulau Pinang
Alamat: Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas Industrial Park, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang
Telefon: 04-643 7273

One Comment